Anda di sini

20 kaunselor berpengalaman bantu waris mangsa: Rohani

Advertisement

KUCHING: Bagi men­tenteramkan waris anggota keluarga mangsa yang ter­libat dalam insiden pesa­wat MH17, Kementerian Pembangunan Wanita, Ke­luarga dan Pembangunan Masyarakat menempatkan 20 kaunselor.

Kaunselor tersebut ditem­patkan di Lapangan Ter­bang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel Marriot Putra Jaya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pem­bangunan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, mereka akan mem­berikan khidmat kaunseling kepada waris penumpang yang sedang trauma.

“Sekarang bilik operasi un­tuk perkhidmatan kaunseling juga telah dibuka di Hotel Marriot Putrajaya,” ujarnya pada sidang media selepas menziarahi keluarga salah seorang penumpang Ariza Ghazalee di sini, semalam.

Menurutnya, buat masa ini mungkin waris penumpang masih boleh menerima kead­aan namun apabila keadaan menjadi sebaliknya nanti, maka kaunselor terbabit akan memainkan peranan.

Beliau menambah, kes­emua kaunselor tersebut merupakan mereka yang berpengalaman.

“Mereka ada pengalaman semasa menangani masalah ahli keluarga penumpang MH370.

“Namun dua insiden ini berbeza kerana MH17 kita tahu apa yang berlaku, man­akala MH370 melibatkan kehilangan pesawat.

“Saya pasti mereka sudah cukup bersedia untuk meng­hadapi apa sahaja masalah yang dihadapi keluarga penumpang,” ujarnya.

Advertisement