Anda di sini

`Durian runtuh’ menjelang Aidilfitri

Advertisement

PUTATAN: Petronas memperuntukkan sebanyak RM2.9 juta kepada 971 ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Papar ekoran pewartaan Zon Larangan Menangkap Ikan di kawasan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Teluk Kimanis.

Pengerusi PNK Papar Abu Bakar Jamil berkata, seramai 971 nelayan yang terpilih akan menerima banyaran sebanyak RM3,000 seorang sebagai salah satu usaha Petronas menyelesaikan tuntutan persatuan itu sebelum ini.

Katanya, selain bantuan ikhlas itu, pihaknya juga difahamkan bakal menerima geran berupa dana berjumlah RM1 juta secara ‘one off’ untuk membantu meningkat aktiviti ekonomi golongan nelayan terlibat.

“Selain ekonomi, bantuan dijanjikan turut melibatkan aspek pendidikan, kebajikan dan kepentingan golongan nelayan di kawasan ini terutamanya ahli PNKP, termasuk permintaan kami terhadap bangunan kedai yang masih dalam proses perbincangan.

“Bagaimanapun, kami berpuashati dengan penyelesaian ini dan mengucapkan terima kasih kepada Petronas khususnya kerajaan yang menepati janji dan sentiasa memastikan nasib golongan nelayan di negara ini terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada satu majlis ringkas penyerahan bayaran di CIMB Bank Berhad cawangan Putatan, kelmarin.

Dalam pada itu, rata-rata penerima pampasan yang ditemui berterima kasih kepada pihak Petronas serta kerajaan kerana prihatin terhadap rintihan mereka.

Seorang penerima, Johari Ongkin, 35, dari Kampung Ulu, Bongawan menyifatkan bantuan ikhlas Petronas itu sebagai rahmat di bulan Ramadan dan amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana doa mereka selama ini dimakbulkan.

Bagi beliau, pemberian itu amat diharapkan kerana ia banyak membantu meringankan beban kos sara hidup mereka sekeluarga memandangkan pendapatannya sebagai nelayan sepenuh masa yang tidak seberapa.

“Pendapatan sebagai nelayan tidak menentu…kadang-kadang banyak dan adakalanya sedikit, bergantung kepada cuaca di laut, malah saya pernah beberapa kali pulang dengan ‘tangan kosong’ setelah seharian ke laut menangkap ikan.

“Justeru, pemberian RM3,000 dari Petronas ini sememangnya diharapkan setelah menunggu sejak sekian lama kerana bantuan ini mampu meringankan beban kami sekeluarga terutamanya dalam persediaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Pendapat sama turut diluahkan seorang nelayan warga emas, Mohamad Sawono, 64, yang tidak henti-henti melafazkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Petronas serta kerajaan atas bantuan ikhlas itu.

“Terima kasih kepada Petronas dan kerajaan yang prihatin dengan tuntutan yang kami nantikan sejak empat tahun lalu dan penghargaan turut diberikan kepada Jabatan Perikanan Negeri Sabah atas inisiatif serta bantuan mereka selama ini.

“Bantuan RM3,000 ini dapat digunakan membaik pulih bot dan pukat, sekali gus menggalakkan produktiviti kami dalam meningkatkan tangkapan hasil laut sejajar dengan usaha kerajaan selama ini,” katanya ketika ditemui.

Advertisement