Anda di sini

Arahan perintah berkurung

Advertisement

Yusof menyampaikan sumbangan khas kepada salah seorang penerima dalam majlis itu.

LAHAD DATU: Orang ramai di daerah ini dinasihatkan agar tidak panik dengan arahan perintah berkurung kerana pelaksanaannya akan menumpu di kawasan tertentu sahaja.

Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Mohd Yusof Apdal berkata, kawasan pelancongan dan perairan merupakan antara lokasi yang menjadi tumpuan dan rakyat boleh meneruskan kegiatan harian seperti biasa.

“Saya menasihatkan agar orang ramai tidak panik dan bertindak matang dalam hal ini. Kerajaan sedang mempergiatkan usaha meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) dan arahan perintah berkurung itu antaranya akan menumpukan kawasan peranginan dan perairan tertentu sahaja,” katanya.

Menurutnya, rakyat tidak perlu menjadikan berita yang disebarkan dari sumber tidak sahih sebagai rujukan kerana ia akan menambah-burukkan lagi keadaan.

Yusof berkata demikian ketika berucap di Majlis Perjumpaan Khas Bersama Pemimpin Bahagian, Cawangan dan pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda Umno Bahagian Silam di sini kelmarin.

Menurut Yusof, kerajaan sentiasa menyalurkan berita terkini melalui saluran media elektronik dan media massa dan rakyat perlu peka dengan sebarang arahan keselamatan melaluinya.

Di samping itu juga, Yusof menggesa juga agar peranan rakyat untuk menjadi mata dan telinga kerajaan dipertingkatkan dan terus melaporkan sebarang tindak-tanduk mencurigakan di persekitaran mereka dengan menghubungi pasukan keselamatan.

Terdahulu dalam kenyataannya, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan melaksanakan perintah berkurung serta mewujudkan laluan yang ditetapkan di perairan pantai timur Sabah dalam tempoh 48 jam.

Langkah drastik itu diambil bagi mengukuhkan keselamatan di kawasan terbabit melalui penguatkuasaan perintah berkurung yang akan dilakukan di waktu-waktu tertentu.

 

Advertisement