Anda di sini

Sangkaruk, kuih tradisional luar biasa sedapnya

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

ENAK: Isah menjual sangkaruk dengan harga RM20 sepaket dan RM50 hingga RM60 seacuan.

BAHAN TULEN: Gula apong yang tidak berkualiti mempengaruhi rasa dan paling ketara warna sangkaruk menjadikannya kekuningan berbanding coklat kehitaman jika menggunakan gula apong berkualiti.

WALAUPUN ungkapan ‘tiada yang lama, tiadalah yang baharu’ kedengaran agak klise, ia tetap relevan lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri apabila banyak kuih-muih tradisional Melayu muncul kembali.

Kuih seperti sepit, rempenyek, bangkit, bahulu serta pelbagai jenis kek seperti kek hati pari, biarpun sesetengahnya hanya dapat dinikmati setahun sekali, sudah memadai bagi menceriakan suasana Hari Raya.

Namun, jika disebut salah satu hidangan warisan seperti sangkaruk, pastinya ramai yang terpinga-pinga kerana ada yang tidak pernah mendengar dan menikmatinya.

Perkara ini diakui sendiri oleh pembuatnya, Isah Ojeh, 56, kerana sangat sukar untuk menemui kuih seperti dodol itu semasa hari raya disebabkan ramai pembuatnya telah tiada.

ENAK: Isah menjual sangkaruk dengan harga RM20 sepaket.

“Sangkaruk telah wujud sejak zaman James Brooke lagi dan pada masa itu ramai wanita di Kuching ini pandai membuatnya termasuklah nenek saya.

“Namun begitu, disebabkan resipinya tidak diturunkan kepada anak-anak mereka, boleh dikatakan sangkaruk sangat sukar ditemui pada hari ini,” katanya kepada wartawan Utusan Borneo di Kuching, baru-baru ini.

Tambahnya, teknik dan kaedah membuat sangkaruk yang memakan masa dan banyak proses mungkin antara punca tidak ramai yang mahir membuatnya dan mempelajari pada masa dahulu.

“Walaupun hanya menggunakan bahan asas seperti santan, gula apong dan tepung beras, tetapi proses membuatnya sungguh lama sama seperti dodol di mana ia perlu dikacau dalam tempoh yang lama,” jelas Isah.

Isah menjelaskan, sangkaruk hanya mampu bertahan dua hingga tiga hari dan kira-kira seminggu sekiranya dimasukkan dalam peti sejuk menyebabkan dia hanya membuat kuih tradisional berkenaan sekiranya ada tempahan.

“Sangkaruk enak dimakan dalam tempoh dua hingga tiga hari.

“Disebabkan salah satu bahan asasnya adalah santan, ia tidak dapat bertahan terlalu lama dan semakin lama keenakannya juga semakin hilang,” jelas beliau.

“Justeru, pada masa ini, saya mendapat bantuan daripada MARDI untuk mencari inovasi atau bahan yang boleh membantu bagi memanjangkan tempoh ketahanan sangkaruk ini,” ujarnya.

PELANGGAN SETIA: Isah bersama salah seorang pelanggan yang juga sahabat karibnya Aminah Mohammad Jamali yang selalu memberi sokongan dengan membeli sangkaruk buatannya.

BAHAN TULEN

Katanya lagi, penggunaan gula apong yang berkualiti menjadi faktor utama yang mampu menyerlahkan lagi rasa dan warna sangkaruk.

Isah menggunakan gula apong yang ditempah khas dari Kampung Tembirat dekat Kota Samarahan yang sememangnya popular.

Menurutnya, gula apong yang tidak berkualiti menyebabkan sangkaruk berwarna kekuningan berbanding coklat kehitaman dengan gula apong berkualiti.

Jelasnya, disebabkan peralatan yang kurang lengkap, dia hanya mampu membuat satu adunan sehari.

“Saya telah membuat permohonan dan berharap permohonan saya untuk kelengkapan membuat sangkaruk ini dapat diluluskan.

“Dengan adanya kelengkapan tersebut, dapatlah saya mengusahakan kuih tradisional ini pada skala yang lebih besar dan pada masa sama lebih ramai yang dapat menikmatinya dan merasainya,” luah Isah.

Isah memberitahu, sangkaruknya pernah tiga kali merangkul gelaran juara dalam Pertandingan Kuih Tradisional N.8 Satok serta tempat ketiga semasa Majlis Pelancaran Skuad Sayang di Dewan Merdeka Kampung Lintang.

Bukan itu sahaja jelasnya, sangkaruknya juga pernah dibeli saudara mara dan kawan-kawan sebagai buah tangan untuk dibawa ke Semenanjung, Sabah, Brunei dan Singapura.

Bercerita mengenai rezekinya pada bulan Ramadan ini, Isah yang tinggal di 21, Lorong Bintangor Satu memberitahu bahawa permintaan meningkat berbanding biasa.

Isah menjelaskan, dia masih membuka tempahan sehingga malam raya dan beliau mahu orang ramai yang ingin merasai keenakan kuih warisan itu supaya menghubunginya untuk membuat tempahan awal di talian 013-5691820.

Tambahnya, sangkaruknya dijual dengan harga RM20 sepaket dan RM50 hingga RM60 seacuan.

Sementara itu, apa yang dapat penulis gambarkan mengenai keenakan sangkaruk apabila mencubanya adalah rasa gula apong yang menyerlah serta tekstur gebu tepung beras menjadikan kombinasi dua bahan itu ‘meletup’ dalam mulut.

Bukan itu sahaja, sangkaruk sesuai dihidangkan semasa berbuka puasa mahupun pada pagi Hari Raya kepada keluarga dan para tetamu yang berkunjung.

Advertisement