Anda di sini

RM4.324 juta dirampas daripada sindiket dadah

Advertisement

Selain menyita kenderaan mewah polis turut bekukan beberapa akaun serta saham ASB dan 1Malaysia 

GEORGE TOWN: Satu sindiket pengedaran dadah tumpas apabila polis menahan empat lelaki dan dua wanita serta merampas wang tunai RM4.324 juta dalam beberapa serbuan di negeri ini.

Tujuh serbuan bermula jam 8.40 pagi hingga 4.30 petang Ahad di Bayan Lepas, Bayan Baru, Gelugor, Sungai Dua dan Air Itam di sini itu turut menyaksikan polis merampas 2.05 kilogram heroin dan 50 kilogram kafein bernilai RM200,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim pada sidang akhbar di sini semalam berkata wang tunai yang dirampas adalah hasil jualan dadah sindiket terbabit di negeri ini sejak setahun lepas.

“Kami turut menyita lima kereta mewah, sebuah moto-sikal berkuasa tinggi dan sebuah motosikal, yang ke-semuanya bernilai hampir RM1.3 juta, serta membekukan beberapa akaun bank termasuk saham ASB dan 1Malaysia milik anggota sindiket itu bernilai lebih RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Bayan Lepas, polis merampas dua ketul heroin seberat 760 gram dan susulan itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Bayan Baru serta menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 30 tahun serta me-rampas 50 kilogram kafein.

Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Gelugor dan menahan seorang wanita berusia 35 tahun serta me-rampas wang tunai RM1.3 juta yang disembunyikan dalam rumah itu, katanya.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kami me-nyerbu sebuah lagi rumah milik wanita berkenaan, juga di Gelugor, dan menemui wang tunai sebanyak RM3.01 juta,” katanya.

Noor Rashid berkata empat serbuan sebelum itu membawa polis ke sebuah kondominium di Sungai Dua yang dipercayai digunakan sebagai tempat memproses dadah berikutan pelbagai peralatan untuk tujuan berkenaan ditemui di situ.

Bertindak atas maklumat, polis mengekori seorang lelaki berusia 33 tahun yang menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi di Bayan Lepas sebelum menahan individu itu, yang didapati mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah terbabit, katanya.

Beliau berkata seorang lagi lelaki berusia 43 tahun ditahan di sebuah pangsapuri di Jalan Paya Terubung, Air Itam dan polis merampas heroin seberat 1.29 kilogram serta wang tunai RM14,500.

Noor Rashid juga berkata siasatan awal polis mendapati sindiket terbabit memasarkan dadah di sekitar Pulau Pinang dan negeri wilayah utara.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan, antaranya jurujual, peniaga dan pekerja kelab malam, ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kami telah kenal pasti seorang lagi lelaki berusia 50 tahun yang dipercayai ketua sindiket terbabit dan usaha mengesannya giat dijalankan. Polis percaya dia masih ber-ada dalam negara,” katanya. — Bernama

Advertisement