Anda di sini

ESSCom: SOP bersesuaian akan dirangka selepas perbincangan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkuasa di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) untuk merangka prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian dengan undang-undang negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perbincangan mengenai SOP “tembak apabila nampak” itu perlu kerana kawasan berkenaan bukan sahaja menjadi laluan penjenayah tetapi juga digunakan pedagang tukar barang, nelayan dan orang kampung.

“Kalau kita tersilap melepaskan tembakan, ia mungkin mengancam nyawa orang yang tidak bersalah… kalau kita (polis) dah tahu mereka (penceroboh) memiliki senjata bertujuan untuk melakukan ancaman terhadap nyawa dan harta benda rakyat, memanglah kita dibenarkan tembak.

“Namun sebelum itu, kita akan berunding dengan pihak berkuasa dan kita juga perlu mewujudkan perintah-perintah larangan tertentu, di kawasan-kawasan tertentu, baharu kita boleh mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya Aidilfi tri kepada warga polis di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, di sini semalam.

Mengulas tentang pembabitan Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari dalam insiden pencerobohan dan penculikan di Sabah, Khalid berkata polis masih menjalankan siasatan terperinci.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Nur Misuari terlibat dengan menggunakan kumpulan sendiri dan beberapa kumpulan lain dalam melakukan pencerobohan dan penculikan di Sabah.

Berhubung keselamatan pelancong di Sabah, Khalid berkata polis akan meningkatkan keupayaan dari segi kehadiran anggota keselamatan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. — Bernama

Advertisement