Anda di sini

Dana tambahan RM20 juta dipohon untuk Perangi Aedes Habis-Habisan

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan memohon dana tambahan kira-kira RM20 juta bagi membantu menjalankan Kempen Perangi Aedes Habis-Habisan selama dua bulan bermula semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ia antara lain disebabkan kementerian akan mengambil alih sebagai peneraju bagi semua aktiviti menangani kes denggi termasuk di kawasan yang sebelum ini dikelolakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan negeri Selangor khususnya dan PBT di bawah mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menjalankan bilangan aktiviti yang memuaskan. Mereka cuma selesaikan 15 peratus daripada jumlah aktiviti yang sepatutnya dilakukan. Ini disebabkan beberapa sebab termasuk kekurangan sumber.

“Dulu kita agihkan kawasan PBT dan kementerian tapi sekarang kementerian akan menjadi pihak peneraju segala aktiviti di mana di kawasan kendalian PBT pun kita akan bantu dan bawa tenaga melalui bajet dari kerajaan pusat.

Ini memerlukan dana yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Subramaniam berkata sebelum ini kementerian membelanjakan kira-kira RM50 juta setahun untuk usaha-usaha menangani kes denggi, termasuk kos untuk racun dan program pendidikan mengenai penyakit itu.

Beliau berkata 66 peratus daripada kes denggi di negara ini adalah dari Selangor dan ia merupakan sebab utama tumpuan diberikan kepada negeri itu.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata kementerian terbuka untuk menerima sebarang idea atau inovasi bagi menangani kes denggi, namun ia perlu melalui penilaian teknikal untuk melihat keberkesanannya.

“Apa yang akan digunakan perlu mempunyai bukti sains, tidak berbahaya dan akan memberi kesan yang baik,” katanya.

Dari Januari hingga hari ini, sebanyak 49,948 kes denggi dilaporkan di seluruh negara, peningkatan sebanyak 35,542 kes atau 247 peratus berbanding 14,406 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Sebanyak 94 kematian akibat denggi dilaporkan, meningkat 236 peratus berbanding 28 kematian untuk tempoh sama. — Bernama

Advertisement