Anda di sini

APMM beri bantuan kecemasan kepada penumpang feri

Advertisement

Oleh Yusop Teppo //

Dua penumpang feri yang sakit berjaya diselamatkan oleh APMM sebelum dihantar ke hospital.

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Sandakan (DM17) menyelamatkan dua penumpang yang dilaporkan sakit selepas feri yang mereka naiki mengalami kerosakan di perairan Sandakan, awal pagi kelmarin.

APMM DM17 di sini menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 sebelum bergegas memberi bantuan kecemasan kepada dua penumpang feri berkenaan.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Sandakan Kepten Maritim A Razak Abd Rahman berkata, kedua-dua mangsa yang berumur 39 dan 42 tahun itu dalam perjalanan pulang ke Zamboanga, Filipina dengan menaiki sebuah feri penumpang di Sandakan.

Namun katanya, feri terbabit terpaksa bersauh di perairan Sandakan setelah keluar dari pelabuhan kerana mengalami kerosakan pada jentera utama dan mengambil masa selama tiga hari untuk pembaikan.

“Salah seorang mangsa mengalami tekanan darah tinggi manakala seorang lagi mengidap kencing manis serta mengalami sesak nafas. Mangsa telah diberi bantuan pernafasan dengan menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Tambah beliau, DM17 telah mengarahkan sebuah kapal peronda untuk mengambil mangsa.

Seterusnya, mangsa dibawa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) menggunakan ambulans HDOK dan ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sandakan untuk pemeriksaan lanjut.

Selain menguatkuasakan undang-undang Maritim, A Razak memberitahu APMM juga memandang serius laporan dan aduan yang diterima khasnya dalam misi menyelamat nyawa dan harta benda.

Sehubungan itu katanya, orang ramai diseru agar menyalurkan sebarang aduan atau kecemasan di laut di talian 24 jam Pusat Operasi Daerah Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.

Advertisement