Anda di sini

Polis selamatkan 17 wanita mangsa pemerdagangan manusia di Melaka

Advertisement

MELAKA: Polis menyelamat-kan 17 wanita warga asing dipercayai mangsa pemerdagangan manusia dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini, awal pagi semalam.

Ketua Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman DSP Kamal Khan Mohd Shariff berkata mereka terdiri 15 wanita warga Vietnam dan dua wanita China berusia 19 hingga 36 tahun yang dijadikan pelayan di premis terbabit.

Beliau berkata ketika serbuan pada jam 2.15 pagi itu, kesemua wanita terbabit sedang melayan kira-kira 28 pelanggan di premis dua tingkat itu.

“Seorang wanita tempatan berusia 34 tahun yang dipercayai ibu ayam ditahan di tingkat atas premis tersebut bersama sebuah beg mengandungi wang tunai berjumlah RM12,080 dan resit jualan dipercayai bagi aktiviti pelacuran,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya enam pekerja premis tersebut terdiri daripada empat lelaki tempatan dan masing-masing seorang lelaki warga China dan Bangladesh berusia 30 hingga 40-an turut ditahan polis.

Siasatan awal mendapati premis yang tidak mempunyai lesen perniagaan itu disyaki menjalankan aktiviti pelacuran, katanya.

Kamal Khan berkata ke-semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2001. — Bernama

 

Advertisement