Anda di sini

Malaysia cadang negara ASEAN bergerak sebagai satu pasukan misi pengaman

Advertisement

MARAKAH (Lubnan): Malaysia mencadangkan negara-negara anggota ASEAN supaya bergerak sebagai satu pasukan dalam melaksanakan misi-misi pengaman dan kemanusiaan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ketika membuat cadangan itu, Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerjasama antara pasukan pertahanan Malaysia dan Brunei Darussalam dalam misi pengaman MALBATT 850-1 di selatan Lubnan adalah contoh yang boleh diperluaskan dalam konteks ASEAN.

Beliau berkata perkara itu wajar dilaksanakan sempena dengan penyandangan jawatan Pengerusi ASEAN oleh Malaysia pada 2015 dan kemungkinan Malaysia dipilih sebagai anggota bukan tetap dalam Majlis Keselamatan PBB.

“Ia bakal menjadi peluang keemasan (untuk mencapai objektif ini) tetapi kita perlu merangka asasnya tahun ini,” katanya kepada pemberita semasa lawatan sulungnya ke ibu pejabat MALBATT 850-1 di Kem Marakah di sini Selasa.

Hishammuddin berkata dalam membentuk kerjasama erat itu, ASEAN boleh bergantung kepada kekuatannya yang berbeza-beza dan menunjukkan kepada dunia bahawa adanya kekuatan dalam kepelbagaian.

Menyedari kepelbagaian boleh juga membawa kepada perpecahan, pembunuhan dan penindasan bagi sebarang sebab di sesetengah tempat di dunia, Hishammuddin berkata perkara itu tidak berlaku di ASEAN yang mengutamakan nilai-nilai seperti saling bertolak ansur dan memahami.

MALBATT 850 terdiri daripada 20 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Lawatan tiga hari Hishammuddin ke MALBATT 850-1, di bawah Pasukan Interim Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), kebetulan bersamaan dengan bulan Ramadan.

Selain Marakah, beliau dijadualkan melawat dua kem lain di bawah MALBATT iaitu Tibnin dan Shamrock.

Beliau dijadual menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anggota MALBATT 850-1, yang mandatnya di bawah UNIFIL bermula dari 23 Okt 2013 hingga 28 Sept 2014, dan menyampaikan sumbangan kuih raya sempena Aidilfitri hujung bulan ini.

Hasil penggabungan MALBATT dan MALCOY pada Julai 2013, misi MALBATT 850-1 dari 23 Okt 2013 hingga 28 Sept 2014 di Lubnan diletakkan di bawah Sektor Barat UNIFIL. — Bernama

Advertisement