Anda di sini

Dua beranak tawar pekerjaan untuk mencuri barang kemas

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kaum wanita, khususnya warga emas, diminta berwaspada dengan tawaran kerja sambilan oleh dua wanita yang sebenarnya mahu mencuri barangan kemas dan wang milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata suspek yang dipercayai dua beranak, akan mengunjungi kawasan perumahan awam dan mendekati wanita warga emas sebelum menawarkan pekerjaan sambilan dengan pendapatan berpatutan.

“Antara mangsa yang tampil, mereka mendakwa ditawarkan kerja mengopek ikan bilis dengan bayaran RM8 sekilogram,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya apabila mangsa bersetuju, suspek akan membawa mangsa ke hospital kononnya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Sebaik tiba di hospital suspek meminta mangsa menanggalkan barang kemas serta wang tunai untuk ditinggalkan di dalam kereta kononnya barangan terbabit tidak boleh dibawa masuk ke bilik X-ray,” katanya.

Beliau berkata mangsa kemudian diminta menunggu mereka di kaunter pendaftaran sebelum menghilangkan diri.

Zainuddin berkata polis kini menjejaki Chen Pitt Yuen, 49, dan Nurul Shuhana Shamsudin, 19, yang beralamat terakhir di B-3-6, Pandan Mewah Court, Jalan Mewah 4, Pandan Mewah, Selangor, bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua beranak itu boleh meng-hubungi pegawai penyiasat Insp Awang Mohd Sah Arsad di talian 012-8103929.

Sementara itu, seorang mangsa Khalijah Mahat, 59, memberitahu Bernama, kedua-dua beranak tersebut datang ke rumahnya di Jalan Kempas, Ampang dan menawarkan pekerjaan mengopek ikan bilis untuk hotel mewah di ibu negara.

“Selepas saya bersetuju, saya ikut mereka ke hospital dan sebaik tiba di hospital mereka minta saya tanggalkan barangan kemas dan ditinggalkan di dalam kereta.

“Saya hanya sedar ditipu selepas kelibat mereka tidak kelihatan setelah menunggu hampir sejam di hospital,” katanya. — Bernama

Advertisement