Anda di sini

Bot pancung karam ketika cuba elak ditahan: APMM

Advertisement

JOHOR BAHARU: Bot pancung yang membawa 80 pendatang asing tanpa izin Indonesia karam di perairan Tanjung Piai, dekat Pontian, malam kelmarin ketika cuba mengelak daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Mari-tim Malaysia (APMM) dengan melanggar bot APMM.

Ketua Penguatkuasa Mari-tim Daerah 6 Wilayah Selatan Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata kejadian berlaku pada jam 11.40 malam di kedudukan kira-kira tiga batu nautika tenggara Tanjung Piai.

“Bot pancung yang dipercayai dinaiki 80 pendatang asing tanpa izin berumur 20 hingga 50-an itu karam selepas tersangkut di hadapan bot APMM dalam usaha mengelak daripada ditahan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan, di sini, semalam.

Aminuddin berkata bot pancung sepanjang 15 meter dan menggunakan empat enjin berkuasa tinggi terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Pulau Batam, Indonesia dengan menyusup keluar dari negara ini menerusi perairan Tanjung Adang di Gelang Patah.

Katanya insiden itu menye-babkan dua maut dan 17 dikhuatiri lemas manakala 61 lagi selamat.

Beliau berkata terdahulu, tiga anggota APMM yang melakukan operasi Ops Tumpas di perairan berkenaan telah menerima maklumat berkaitan bot pancung dalam keadaan mencurigakan dan cuba menghampiri untuk melakukan pemeriksaan.

Aminuddin berkata bot pancung itu enggan berhenti apabila diarahkan dan bertindak agresif dengan melanggar bot APMM sebanyak dua kali.

“Setelah hampir 10 minit, bot pancung itu sekali lagi cuba melanggar bot APMM, namun, tindakan agresif tekong menyebabkan bot pancung itu tersangkut di hadapan bot APMM sehingga menyebabkan kemasukan air dan karam,” katanya.

Menurut Aminuddin, anggota APMM hanya menye-dari bot tersebut membawa pendatang asing tanpa izin apabila melihat penumpang bot terjun ke laut ketika bot itu sedang tenggelam.

Beliau berkata 61 orang berjaya diselamatkan malam kelmarin, bagaimanapun, dua daripada mereka iaitu seorang wanita berumur 20-an dan seorang lelaki berumur 30-an meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Katanya, dua lagi yang mengaku tekong bot ber-kenaan diselamatkan pada jam 10 pagi semalam ketika sedang berenang di kawasan tidak jauh dari Pelabuhan Tanjung Pelepas dekat Gelang Patah.

Aminuddin berkata operasi mencari dan menyelamat 17 lagi penumpang bot yang masih hilang sedang dilakukan di sekitar perairan itu dengan bantuan agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pa-sukan Polis Marin dan Jabatan Pertahanan Awam.

“Kedua-dua tekong bersama-sama kesemua pendatang asing tanpa izin yang lain kini sedang direkodkan keterangan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Pemerdagangan Orang (Pindaan) 2010,” katanya.

Katanya siasatan mendapati pendatang asing tanpa izin itu membayar tambang sekitar RM1,500 seorang dan dibawa ke Tanjung Adang menggunakan kenderaan yang meng-ambil mereka di kawasan Skudai, di sini, sejak beberapa hari lepas. — Bernama

 

 

Advertisement