Anda di sini

Umai, ikan ‘paeh’ tarik perhatian di bazar Ramadan Mukah

Advertisement

Oleh Nicklos Louis Kaderi //

UNIK DAN ENAK: Ikan pari yang disajikan seperti piza mempunyai keenakan tersendiri.

BAZAR Ramadan Mukah menyediakan pelbagai pilihan masakan ikan dengan keunikan reka bentuk serta rasa yang enak untuk menarik lebih ramai pengunjung membeli juadah berbuka puasa.

Mukah yang popular dengan makanan laut sudah pasti tidak terlepas menyediakan masakan berasaskan sumber laut.

Tinjauan ke bazar Ramadan di Mukah menyaksikan pelbagai jenis masakan yang dihasilkan menggunakan ikan dan hasil laut oleh peniaga.

Antara makanan yang dijual ialah umai, ikan bakar, ikan ‘paeh’ (ikan yang dibakar di dalam daun), ikan pari gril berbentuk piza, dan ikan ‘belo’ (ikan yang dicampur dengan garam).

PELBAGAI PILIHAN: Peniaga menyediakan pelbagai pilihan masakan ikan yang menyelerakan.

Umai dan ikan ‘paeh’ telah mendapat perhatian daripada pengunjung kerana ia mempunyai rasa berbeza dan cara membuatnya yang unik.

Salah seorang pengunjung, Masel Leenus, 30, berkata beliau amat tertarik dengan makanan laut terutama ikan segar.

Menurut beliau, selepas melihat cara membuat ikan ‘paeh’ beliau terus ingin merasa dan membelinya, sambil memberitahu harga yang ditawarkan juga berpatutan.

“Saya ingin merasa ikan yang dibakar di dalam daun kerana ia nampak unik dan saya mahu menikmatinya sebagai juadah berbuka puasa,” ujarnya.

Harga makanan laut yang ditawarkan ialah umai RM13 hingga RM15, ikan ‘paeh’ RM6 dan ikan gril RM10.

UMAI IKAN SEGAR: Umai yang dibuat daripada ikan segar berjaya menarik perhatian pengunjung di bazar Ramadan Mukah.

Advertisement