Anda di sini

Kejayaan pasukan dibina dari semangat berpasukan: Loew

Advertisement

RIO DE JANEIRO, Brazil: Jurulatih Jerman, Joachim Loew mendedahkan bahawa beliau memberitahu Mario Goetze untuk “membuktikan bahawa beliau lebih baik berbanding Lionel Messi” sebelum pemain muda itu menjaringkan gol tunggal kemenangan pada masa kecederaan untuk memenangi Piala Dunia 2014 Ahad lepas.

Goetze dimasukkan dari bangku simpanan pada minit ke-86 dan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke- 113 ketika Jerman muncul juara di Stadium Maracana di sini.

“Saya memberitahu Mario Goetze, ‘masuk dan tunjukkan kepada dunia bahawa kamu lebih bagus berbanding Messi’,” kata Loew.

“Goetze adalah ‘budak ajaib’, beliau pemain hebat yang boleh bermain di beberapa posisi, beliau adalah pemain yang boleh menentukan keputusan dan itulah apa yang beliau lakukan hari ini.”

Loew juga berasa sangat gembira dengan kemenangan bersejarah pasukannya, pasukan pertama dari Eropah yang muncul juara dunia di benua Amerika Selatan.

Ia juga ekoran selepas terlepas peluang dari empat kejohanan sejak Piala Dunia 2006.

“Kami sudah bersama selama 55 hari, kami memulakan projek ini beberapa tahun yang lalu dan hasilnya adalah dari kerja-keras semua pihak,” kata Loew.

“Kami dapat meningkatkan prestasi kami, kami mempercayainya dan bekerja-keras.

“Pasukan ini benar-benar selayaknya menang dengan pemain seperti Philipp Lahm, Bastian Schweinsteiger, Lukas Podolski dan Per Mertesacker.

“Kami mempunyai beberapa kekecewaan sebelum ini walaupun bermain dengan baik. Saya fikir kami mempamerkan prestasi terbaik dari semua tujuh perlawanan di sini.”

Loew berkata kejayaan pasukannya dibina dari semangat berpasukan.

“Pasukan ini membentuk satu semangat berpasukan yang luar biasa dan sudah mengembangkan keupayaan mental yang hebat,” kata beliau.

“Dan kami berasa bangga untuk menjadi pasukan Eropah pertama memenangi kejuaraan di benua Amerika Selatan. Di Brazil, di Rio dan negara gilakan bola sepak menjadikan kami lebih berbangga dengan kemenangan ini.”

“Ini adalah kegembiraan yang akan dikenang selama-lamanya, pasukan ini memberikan segala-gala yang mereka ada dengan keazaman Bastian Schweinsteiger di bahagian tengah dan Philipp Lahm, yang tidak kenal erti penat berlari sepanjang perlawanan.

“Saya memberitahu pasukan sebelum sepak mula di mana mereka harus memberikan lebih banyak lagi berbanding sebelum ini kerana mereka mahu mencapai sesuatu yang tidak pernah dicapai sebelum ini.”

Loew berkata salah satu kemuncak dalam kerjayanya ialah kemenangan 7-1 ke atas Brazil pada perlawanan separuh akhir, tetapi reaksi sokongan penduduk negara tuan rumah yang gilakan bola sepak kepada pasukan beliau benarbenar mengejutkannya.

“Ia adalah salah satu kemuncak dalam kerjaya saya apabila kami menewaskan Brazil, tetapi walaupun mereka (penduduk Brazil) sangat kecewa, mereka tetap memberikan sokongan kepada kami,” kata Loew.

“Sepanjang perjalanan selama satu jam ke lapangan terbang, kami melihat penduduk tempatan bersorak memberi sokongan kepada kami dari tepi jalan.

“Apabila kami kurang 10 minit ke kem latihan kami di Bahia, kami melihat penduduk mengalu-alu kehadiran kami dengan bendera dan sepanduk dan ia benar-benar mengharukan.

“Saya memberitahu pasukan di mana kami pergi ke negara asing dan mewakili 80 juta penduduk Jerman tetapi saya mahu penduduk tempatan merasakan pasukan ini memberikan fokus kepada bola sepak dan bukan bercuti.

“Penduduk tempatan (Brazil) menyokong kami dengan penuh kegembiraan dan saya mahu berkata ‘Terima Kasih Brazil’.”

Loew juga memuji kemampuan pasukannya menangani ancaman bintang Argentina, Lionel Messi, yang dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan tetapi gagal menembusi benteng pertahanan Jerman.

“Kedua-dua pasukan bertukar serangan tetapi kami menguasai permainan dengan lebih baik,” kata Loew. — AFP

Advertisement