Anda di sini

Goetze sentap impian Messi

Advertisement

Jerman menjadi pasukan Eropah pertama memenangi trofi Piala Dunia di benua Amerika Selatan

RIO DE JANEIRO, Brazil: Mario Goetze menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan ketika Jerman menewaskan Jerman 1-0 untuk menjadi pasukan Eropah yang pertama memenangi trofi Piala Dunia di benua Amerika Selatan di sini Ahad lepas.

Pemain kelab Bayern Munich itu menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-113 di Stadium Maracana di sini ketika impian bintang Argentina, Lionel Messi untuk mengulangi pencapaian Diego Maradona berakhir dengan kekecewaan.

Jerman sekarang sudah memenangi trofi Piala Dunia buat kali keempat, menjadikan mereka hanya kurang satu kejuaraan di belakang pasukan tuan rumah, Brazil.

“Ia sangat luar biasa dari apa yang kami capai. Sama ada kami mempunyai pemain individu terbaik tidak begitu penting, anda memerlukan pasukan terbaik, ” kata kapten Jerman, Philipp Lahm.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew mendedahkan beliau menggalakkan Goetze untuk mengatasi Messi apabila dimasukkan pada minit ke-88 sebagai pemain gantian.

“Saya memberitahu Mario Goetze, ‘masuk dan tunjukkan kepada dunia kamu lebih baik berbanding Messi,” katanya.

Kemenangan Jerman membangkitkan pesta kegembiraan di tanahair dan juga di seluruh Brazil, yang lebih suka trofi kejuaraan dimenangi oleh Jerman berbanding musuh tradisi mereka, Argentina, di tanahair mereka sendiri.

Puluhan ribu penyokong Argent ina berkampung di pantai Copacabana di Rio menjelang perlawanan bagaimanapun pulang hampa selepas kekalahan itu ketika penduduk Brazil turut meraikan kejayaan Jerman.

“Terima kasih Tuhan, terima kasih kerana Jerman menang,” kata seorang penduduk , Caio Ferraz,45, di pantai terkenal itu.

Final Ahad lepas menamatkan satu bulan karnival bola sepak yang dianggap salah satu kejohanan Piala Dunia yang terbaik.

Gol kemenangan Goetze menyamai rekod gol pada Piala Dunia yang melibatkan 32 pasukan.

Sebanyak 171 gol dari 64 perlawanan itu menyamai rekod yang dicipta di Perancis pada 1998.

Apa yang menariknya, Goetze menjaringkan satu gol yang cantik.

Perlawanan, yang dihadiri 74,738 penonton dalam stadium termasuk Canselor Jerman, Angela Merkel, kelihatan seperti akan ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan gagal menembusi pintu gol dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Tetapi ketika berbaki tujuh minit untuk tamat masa tambahan, Andre Schuerrle melarikan bola dari sayap kiri padang sebelum melakukan satu hantaran lintang cantik yang dikawal oleh Goetze dengan dada sebelum merembat bola melepasi penjaga gol Sergio Romero untuk membangkitkan kegembiraan pemain, penyokong Jerman dalam stadium, selain penyokong tuan rumah.

Namun dalam beberapa saat selepas itu, Messi mempunyai peluang untuk mengikat kedudukan tetapi tendangan percuma beliau melambung tinggi dan Jerman akhirnya dinobatkan juara dunia selepas wisel penamat ditiup pengadil.

Messi, 27, bintang kelab Barcelona, bagaimanapun menerima hadiah saguhati apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan walaupun beliau lebih suka untuk menyamai pencapaian Maradona, yang menjadi kapten ketika memenangi Piala Dunia pada 1986.

Messi juga mempunyai peluang pada awal separuh masa kedua tetapi rembatannya sedikit tersasar dari pintu gol.

Selain dari itu, Gonzalo Higuain juga mempunyai peluang dalam separuh masa pertama apabila hanya berdepan dengan Neuer tetapi gagal melakukan penyudah sempurna.

Jurulatih Argentina, Alejandro Sabella berasa terkilan dengan kegagalan pasukannya ketika mengimbau kekalahan Ahad lepas dengan kekalahan yang sama kepada Jerman pada 1990.

“Mereka lebih menguasai permainan tetapi kami mempunyai peluang lebih baik di pintu gol,” kata Sabella.

“Apabila ada peluang dalam satu perlawanan yang sangat seimbang, anda perlu menyempurnakannya. Kami kurang ketajaman di hadapan pintu gol.”

Sabella juga mempertahankan sumbangan Messi, yang gagal menangkis keraguan tentang kedudukannya sebagai pemain bola sepak yang hebat.

“Ia satu kejohanan yang sukar dan ia memberi kesan kepada semua orang dari segi fizikal,” kata Sabella.

“Beliau sudah antara pemain terhebat sepanjang zaman.”

Kegagalan Messi menambah jaringan dari empat gol yang dijaringkan di pusingan pertama, membolehkan penyerang Colombia, James Rodriguez dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas, atau penjaring terbanyak dengan enam gol.

Neuer pula dinobatkan sebagai penerima Sarung Tangan Emas sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

“Ia sukar dipercayai dan satu pengalaman yang sangat hebat,” kata Neuer.

“Jerman adalah juara dunia. Saya tidak tahu berapa lama kami akan meraikan kemenangan ini tetapi ia sememangnya saat yang paling menggembi rakan.” — AFP

Advertisement