Anda di sini

Vesel wajib pasang alat pengesan MTU

Advertisement

HASIL LAUT: Tajuddin (kanan) melihat lebih dekat hasil tangkapan bot laut dalam di dermaga Pelabuhan Perikanan Laut Dalam LKIM Tanjung Manis.

Bertujuan capai sasaran pengeluaran ikan 50,000 tan metrik setahun menjelang 2020

Oleh Florence Nervyn //

TANJUNG MANIS: Mekanisme baharu mewajibkan semua jenis vesel dipasang dengan alat pengesan Mobile Tracking Unit (MTU) bagi memantau pergerakan bot-bot menjalankan aktiviti perikanan bertujuan mencapai sasaran pengeluaran ikan sebanyak 50,000 tan metrik setahun menjelang 2020.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata alat pengesan MTU itu wajib dipasangkan selewat-lewatnya September ini sebagai kaedah meningkatkan pengeluaran ikan negeri ini dalam memenuhi keperluan domestik.

“Jika mereka gagal berbuat demikian, kita akan menggantung lesen dan vesel juga dirampas,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Manis, semalam.

Beliau berkata, buat masa ini pengeluaran ikan di negeri ini dicatatkan sebanyak 21,000 tan metrik setahun dan kerajaan menyasarkan 50,000 tan metrik setahun menjelang 2020.

Katanya pengeluaran ikan nasional dicatatkan sebanyak 1.4 juta tan metrik setahun melebihi keperluan domestik sebanyak 1.2 juta tan metrik setahun.

“Terdapat beberapa faktor menyebabkan situasi ini berlaku, antaranya disebabkan segelintir nelayan menjual hasil tangkapan di laut dan seterusnya menjejaskan jumlah pendaratan ikan di dermaga.

“Malah, terdapat pemilik lesen vesel tidak menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan menyebabkan kekurangan bekalan ikan di pasaran,” jelasnya.

Sehubungan itu, Tajuddin menggesa nelayan laut dalam agar memanfaatkan fasiliti disediakan di Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Tanjung Manis (PPLTM) seperti infastruktur pendaratan, penyimpanan, pemprosesan, pemasaran dan kelengkapan-kelangkapan lain yang berteknologi tinggi.

“Dermaga di pelabuhan mampu menampung sehingga lapan vesel laut dalam untuk melakukan pendaratan pada satu-satu masa.

“Malah, PPLTM juga menyediakan kemudahan kilang pemprosesan, bangunan operasi, dewan pemetian, kilang air batu, lot kedai, ruang bilik sejuk, ruang membaiki pukat, pusat jualan minyak dan jeti pendaratan,” katanya.

Pelabuhan Perikanan Laut Dalam LKIM Tanjung Manis dibina pada 2003 dan siap pada September 2006 dengan kos pembinaan RM332.5 juta mula beroperasi pada 1 Januari 2008.

Selain itu, Tajuddin turut melawat kilang Fieldmart Sdn Bhd, kilang penghasilan surimi beku untuk pasaran eksport serta pasaran pertama terletak di Kompleks Pemprosesan PPLTM dan melancarkan penghantaran pertama surimi beku ke Jepun di kilang Fieldmart Sdn Bhd.

“Para nelayan bot laut dalam juga dapat membantu meningkatkan pengeluaran ikan dengan membekalkan lebih banyak sumber ikan untuk pengusahaan pemprosesan produk berasaskan ikan yang mendapat permintaan tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa,” jelasnya.

Fieldmart Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan Sarawak menjalin usaha sama dengan sebuah syarikat senarai awam Jepun, Hayashikane Sangyo Ltd menerusi anak syarikatnya yang ditubuhkan di Malaysia, Omakane Sdn Bhd.

Kilang Fielmart Sdn Bhd yang terletak di Kompleks Pemprosesan PPLTM merupakan kilang pertama di Sarawak menghasilkan surimi beku untuk pasaran eksport dan pasaran tempatan.

Surimi adalah daripada perkataan Jepun yang bermaksud daging ikan cincang yang digunakan sebagai bahan mentah utama untuk bebola ikan, sosej ikan, daging ketam tiruan (artificial crabmeat), kek ikan (fishcake), komoboko dan lain-lain.

Advertisement