BRASILIA, Brazil: Jurulatih Belanda, Louis van Gaal, cuba mengurangkan jangkaan di kalangan penyokong Manchester United dengan kehadirannya sebagai pengurus baharu di Old Trafford selepas menamatkan kerjaya sebagai jurulatih kebangsaan Belanda di tempat ketiga Piala Dunia 2014 Sabtu lepas.
Belanda membelasah pasukan tuan rumah, Brazil, 3-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Kebangsaan Mane Garrincha Sabtu lepas menerusi gol penalti Robin van Persie, Daley Blind dan Georginho Wijnaldum.
Mereka secara asasnya menamatkan kempen tanpa kalah dalam masa sebenar (90 minit permainan), dengan kekalahan di peringkat separuh akhir kepada Argentina adalah menerusi penentuan sepakan penalti tetapi van Gaal memberi amaran kepada penyokong United di mana mereka mungkin seperti penyokong lain yang akan merasai kekalahan.
“Saya tidak dapat melakukannya di Ajax, Barcelona atau Bayern Munich. Kekalahan adalah lumrah dalam sukan,” kata beliau.
“Saya hanya berharap di Manchester United, saya boleh melakukan yang terbaik.
Sama ada ia cukup untuk penyokong, kita perlu tunggu dan lihat tetapi saya berharap ia sesuatu yang positif bagi saya.
” Kejayaan Belanda di Piala Dunia adalah sebahagian besarnya kerana semangat berpasukan tinggi yang beliau terapkan dan keputusan memberikan penjaga gol Michel Vorm penampilan lewat sebagai pemain gantian menentang Brazil bermakna semua 23 pemain beliau ada beraksi di Piala Dunia. — AFP