Anda di sini

Sarawak mahu lupakan episod duka di Perlis

Advertisement

KUCHING: Sarawak mahu melupakan episod duka terkeluar dari pentas awal dalam acara bola sepak pada SUKMA XVII Perlis dengan memburu tempat terbaik pada kempen Kejohanan Piala Belia Bawah 19 tahun yang akan berlangsung di Melaka pada 11 hingga 24 Ogos depan.

Ketua Jurulatihnya, Johnny Dominicus berkata pemain-pemainnya telah banyak belajar daripada kesilapan lalu dan bersedia untuk menebus kegagalan pada temasya tersebut.

“Persiapan kita berjalan dengan lancar dan pemain menunjukkan komitmen yang jitu sepanjang latihan diadakan,” katanya di sini semalam.

Menurut Johnny, latihan bermula pada awal Julai ini dan mereka juga menjalani latihan seperti biasa pada bulan Ramadan memandangkan tempoh yang tinggal terlalu singkat.

Tegasnya, ia penting bagi memantapkan persediaan skuadnya yang bakal menampilkan ramai muka baharu.

“Kita terpaksa mencari 15 pemain baharu kerana hanya 10 pemain dari skuad SUKMA XVII layak untuk bertanding.

Ia tidak menjadi masalah kerana kita mempunyai ramai pemain muda berbakat dan boleh diketengahkan,” tambahnya.

Katanya, Sarawak mensasarkan untuk sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir pada kejohanan tersebut.

“Kita tahu saingan memang sukar namun tidak mustahil untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Sekiranya skuad berjaya pergi dengan lebih jauh, ia satu bonus untuk kita,” katanya.

 

Advertisement