Semua pasukan punyai peluang sama pada Piala Malaysia
Oleh Mahathir Haroun //
KUCHING: Sarawak diundi dalam Kumpulan B pada saingan Piala Malaysia 2014 bersama Terengganu, Perak dan Kedah selepas undian dijalankan di Institut Sukan Negara (ISN) semalam.
Berdasarkan prestasi semasa, keempat-empat pasukan mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir yang mana akan bertemu lawan dari Kumpulan C.
Menurut ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts undian itu amat baik dan semua pasukan mempunyai peluang sama rata.
Bagaimanapun, beliau berkata pencapaian Sarawak banyak bergantung kepada pemain utama termasuk pemain import.
“Kemampuan kita dalam kancah Piala Malaysia banyak bergantung kepada pemain utama termasuk pemain-pemain import,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, lawan yang ditentang dalam Kumpul a n B memp u n – y a i kelebihan masing-masing dengan Terengganu menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan lebih baik.
Perak pula telah meningkat selepas pertukaran empat pemain importnya, manakala Kedah amat berbahaya dan merupakan pencabar merebut dua slot ke pusingan seterusnya.
“Kita memerlukan semua pemain yang tercedera kembali untuk membolehkan kita menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan dua teratas,” ujarnya.
Pada Piala Malaysia 2013, Sarawak melayakkan diri ke pusingan separuh akhir sebelum tewas kepada Pahang dengan agreget 4-2.
Perlawanan pembukaan Piala Malaysia 2014 bermula pada 13 Ogos manakala perlawanan akhir pada 8 November.
Undian lain menyaksikan juara bertahan Pahang diundi bersama Lions XII FC, KL Felda United FC dan JDT II.
Kumpulan C pula menyaksikan juara Liga Super 2014, JDT akan menghadapi tentangan Kelantan, ATM dan Pulau Pinang.
Selangor diundi dalam Kumpulan D bersama KL Sime Darby FC, PDRM dan Terengganu T-Team.