Anda di sini

Pemuda OKU dilaporkan hilang

Advertisement

Karin Ngumbang hidap ’sindrom down’ mandi di sungai didapati hilang

Oleh Kepu Sidi //

SARIKEI: Seorang pemuda yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak tengah hari Jumaat lalu.

Mangsa, Karin Ngumbang, 24, seorang OKU yang mempunyai masalah penyakit ‘sindrom down’ tinggal bersama keluarganya di Rumah Tayan, Sungai Lepong, Sarikei.

MASIH DICARI: Dominic menunjukkan gambar mangsa pada sidang media, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei DSP Dominic Josip Nyarui berkata mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarga jam 8 malam Jumaat lalu.

“Keluarga mangsa membuat laporan polis di salah sebuah balai polis berdekatan setelah usaha mencari mangsa dilakukan oleh penduduk kampung dan ahli keluarganya menemui jalan buntu.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat keluarga mangsa, pada hari kejadian mangsa pergi mandi dan berenang di sebuah sungai berhampiran.

“Menurut keterangan yang diberi oleh keluarga mangsa kepada pihak kami, mangsa turun mandi bermula jam 1 hingga 4 petang pada setiap hari dan itu menjadi rutin hariannya,” kata Dominic pada sidang media, semalam.

Namun pada hari kejadian, mangsa didapati tidak pulang ke rumah walaupun pada waktu tersebut adalah tempoh masa untuk mangsa pulang dan sampai di rumah.

Menurut Dominic, risau akan ketidakpulangan mangsa, beberapa ahli keluarganya bertindak keluar mencari mangsa.

“Namun, kalibat mangsa tidak kelihatan di lokasi tempat mangsa selalu mandi.

“Keluarga mangsa hanya menemui bekas sabun dan tuala mandi mangsa di lokasi terbabit.

“Menurut beberapa budak yang turut mandi di sungai yang sama, mereka ada ternampak mangsa berenang menyeberangi sungai dan menuju ke hutan berhampiran.

“Berdasarkan maklumat tersebut, keluarga mangsa dan penduduk setempat turut melancarkan gerakan mencari mangsa namun usaha tersebut masih gagal menjejakinya,” kata Dominic.

Sebaik laporan dibuat, polis dengan bantuan bomba turut melancarkan gerakan mencari mangsa sejak kelmarin namun sehingga jam 4 petang semalam usaha tersebut masih  gagal menemui mangsa.

Pada hari tersebut, mangsa memakai kemeja-T putih dan seluar pendek hitam putih berkotak.

Dominic berkata pihaknya turut memohon bantuan Unit Anjing Pengesan K9 daripada Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Sibu untuk menjejak mangsa.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada unit terbabit, mereka akan menghantar bantuan dengan menggunakan anjing pengesan pada pagi esok (hari ini).

“Sehubungan itu, kami memohon orang ramai yang mungkin ada terserempak dengan mangsa agar memaklumkan kepada kami atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Advertisement