Anda di sini

Masa depan Scolari kini di tangan CBF

Advertisement

BRASILIA, Brazil: Luiz Felipe Scolari meletakkan kedudukan beliau sebagai jurulatih kebangsaan Brazil di tangan persekutuan bola sepak negara itu selepas menamatkan kempen Piala Dunia 2014 dengan lebih banyak kekecewaan Sabtu lepas.

“Ia bergantung kepada presiden untuk membuat keputusan.

Kami akan menyerahkan laporan akhir dan kemudian membiarkan beliau membuat analisa apa yang perlu dilakukan,” kata Scolari selepas Brazil tewas 0-3 kepada Belanda pada perlawanan penentuan tempat ketiga di Brasilia.

“Saya tidak akan membincangkan masa depan saya dengan anda (media).  Menang atau kalah, itulah apa yang telah kami lakukan.”

Kontrak Scolari dengan Gabungan Bola Sepak Brazil (CBF) berakhir bersamasama kempen Brazil di Piala Dunia tetapi ada beberapa cadangan dari Presiden CBF, Jose Maria Marin di mana beliau akan memujuk Scolari untuk terus kekal sehingga akhir tahun ketika cuba mencari pengganti untuk jangka panjang.

Kekalahan 0-3 itu, ekoran kekalahan 1-7 kepada Jerman pada perlawanan separuh akhir empat tahun lalu, sangat mengecewakan semua pihak tetapi Scolari menegaskan ada banyak perkara positif yang boleh diambil dari Piala Dunia kali ini.

“Pada akhir kejohanan, kami tidak begitu bagus tetapi menamatkan tempat di tempat keempat tetap membanggakan dan kita harus memuji pemain.

Perlawanan menentang Belanda sebenarnya seimbang tetapi kami bolos gol awal dan Belanda mendapat kelebihan,” kata beliau.

Brazil ketinggalan apabila kapten Brazil, Thiago Silva menghadiahkan tendangan penalti buat Belanda selepas menjatuhkan Arjen Robben dalam kotak penalti.

Kapten Belanda, Robin van Persie menyempurnakan tendangan penalti untuk meletakkan Belanda di hadapan seawal minit ketiga.

Daley Blind mengambil kesempatan dari satu lagi kesilapan pertahanan Brazil untuk menjaringkan gol kedua pada minit ke-17 sebelum Georginio Wijlandum melengkapkan jaringan pada minit kecederaan perlawanan di Stadium Kebangsaan Mane Garrincha.

Pemain tuan rumah diejek dan dicemuh ketika meninggalkan padang dan menjadi pasukan pertama yang tewas dua perlawanan berturut-turut di tempat sendiri dalam tempoh 74 tahun. — AFP

Advertisement