Anda di sini

Dakwaan pelajar UNIMAS bersikap ultra-konservatif disiasat: Fadillah

Advertisement

Fadillah berbincang pihak UNIMAS, keputusannya mungkin diketahui Isnin

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: Menteri Mentor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Datuk Fadillah Yusof memberitahu, beliau masih menyiasat dakwaan sebuah portal berita menyatakan terdapat pelajar di universiti itu bersikap ultra-konservatif.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan berkata, pihaknya telah berbincang dengan pihak UNIMAS semalam dan keputusan mengenainya mungkin dapat diketahui seawal-awalnya hari ini (Isnin).

“Masih terlalu awal untuk saya memberi komen tentang isu ini dan biarlah kita menunggu laporan daripada UNIMAS terlebih dahulu dan kita telah berbincang dengan pihak mereka.

“Sekiranya kita telah dapat keputusannya, nanti kita akan maklumkan mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pengagihan Bubur Lambuk anjuran Pertubuhan Seni Digital Generasi Baharu (NGDAS) dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Darul Abrari, Kampung Paroh di sini, semalam.

Terdahulu, portal berita berkenaan menyentuh mengenai sikap ekstremisme yang menjangkiti komuniti Islam di Sarawak yang kini semakin berkembang, diimport dari seberang Laut China Selatan mengancam untuk meruntuhkan ikatan sosial yang mengeratkan komuniti pelbagai kaum di negeri ini.

Portal berkenaan turut memberitahu, pada Mac lalu, terdapat pelajar di UNIMAS cuba melarang satu seminar oleh bekas pakar sosiologi dan aktivis Profesor Noraini Othman.

“Seorang pegawai UNIMAS yang tahu mengenai bantahan itu berkata, seminar berkenaan diteruskan tetapi ahli kumpulan terbabit cuba mengganggu dan mengejeknya.

“Mereka tidak berdebat mengenai apa yang beliau bentangkan, tetapi hanya terus melabelkan Noraini tidak Islamik dan menyimpang.

“Bantahan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya yang enggan dikenali yang dipetik daripada portal berkenaan.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai program pengagihan dan memasak bubur lambuk, menurutnya ia merupakan patform terbaik bagi mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dalam kalangan umat Islam terutama sepanjang bulan Ramadan.

Terdahulu, Presiden NGDAS Dr Kamil Salem berkata sebanyak 15 kilogram beras digunakan untuk memasak bubur lambuk yang dibuat secara gotong-royong oleh ahli kelab dan jawatankuasa surau kampung itu.

Jelasnya, selain Kampung Paroh, pertubuhan itu turut menganjurkan majlis sama di Kampung Buso dan Kampung Pelandok Laut di sini.

Kampung Paroh memiliki 86 rumah dengan penduduknya lebih 600 orang.

Advertisement