Anda di sini

Bunyi telefon ‘selamatkan’ pencuri wayar

Advertisement

LIMBANG: Sekumpulan pencuri bertempiaran lari ke dalam hutan sebaik menyedari tempat mereka membakar wayar elektrik curi diserbu pemilik barangan curi terbabit dalam kejadian di kawasan Airport Lama di sini pagi Jumaat lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, mangsa yang berusia 58 tahun dan bekerja sebagai juruelektrik memeriksa wayar elektrik yang disimpan di rumah ayahnya di Airport Lama.

Sebaik menyedari wayar elektrik berkenaan hilang, mangsa menelefon adik dan rakan adiknya agar melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan tersebut.

Mangsa berkata, ketika melakukan pemeriksaan dia mendapati kepulan asap di dalam hutan tidak jauh dari rumah bapanya sebelum bertindak memeriksa kepulan asap tersebut.

“Saya sangsi dan curiga dengan kepulan asap berkenaan segera membawa adik dan rakan adik saya melakukan pemeriksaan.

“Sewaktu hampir di lokasi terbabit, kami melihat kelibat beberapa lelaki sedang membakar plastik wayar elektrik berkenaan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, ketika hampir menangkap pencuri berkenaan dengan jarak 40 kaki, tiba-tiba telefon milik rakan adiknya berbunyi sehingga menyebabkan pencuri itu terkejut dan bertempiaran lari ke dalam hutan.

Beliau yang mengalami kerugian sekitar RM4,000 membuat laporan polis jam 2 petang Jumaat lalu.

Katanya ini merupakan kejadian kecurian kali ketiga.

Sebelum ini, dia turut mengalami kerugian tong gas (kecurian pertama) dan diikuti kehilangan sebuah televisyen dan terbaharu kecurian wayar elektrik.

 

Advertisement