Anda di sini

Anggota keluarga terkejut berita kehilangan Zakia

Advertisement

KOTA KINABALU: Anggota keluarga Konstabel Zakia Aliep, 26, yang dipercayai diculik kumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna malam kelmarin terkejut dengan kejadian itu.

Mereka merasa sedih lebih-lebih lagi beliau baharu memperoleh cahaya mata kira-kira tiga bulan lalu.

Majlis doa selamat untuknya diadakan pagi semalam.

Abangnya Zakria, 31, berkata beliau mendapat berita mengenai kehilangan adiknya daripada rakan-rakannya pada jam 4 pagi semalam selepas bersahur.

“Selepas rakan-rakan memberitahu ada insiden serang hendap di Pulau Mabul dan adik saya hilang, saya menghubungi isterinya yang memberitahu adik saya tidak pulang ke rumah.

“Saya turut menghubungi Balai Polis Semporna untuk bertanyakan tentang perkembangan pencarian adik saya,” katanya kepada Bernama.

Zakria berkata petang semalam beliau dan ibu bapanya serta beberapa orang saudara-mara bertolak dari kampung mereka di Tenghilan, kira-kira 45 kilometer dari Kota Kinabalu untuk ke Semporna bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai adiknya di samping menemani isteri dan anak Zakia yang berada di Semporna.

Zakia dipercayai diculik ketika sepasukan anggota Polis Marin diserang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah resort di Pulau Mabul pada jam 11.10 malam. Seorang lagi anggota Polis Marin, Koperal Rajah Jamuan terbunuh.

Menceritakan mengenai adiknya, Zakria berkata Zakia merupakan antara yang pertama memohon untuk berkhidmat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Beliau berkata selepas Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) ditubuhkan susulan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, adiknya tidak berfikir panjang untuk membuat permohonan bertugas di ESSZone.

“Masa itu permohonan dibuka kepada mana-mana anggota keselamatan yang berminat untuk berkhidmat di bawah ESSCom. Adik saya melihat ia juga sebagai peluang untuk pulang dan berkhidmat di negeri kelahirannya,” katanya. — Bernama

Advertisement