Anda di sini

SPA ambil calon kolej swasta jika perlu, diminta kementerian

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) hanya akan mengambil calon yang memiliki kelayakan daripada kolej swasta sekiranya diperlukan atau diminta oleh sesebuah kementerian.

Penolong Setiausaha Urus Setia SPA Cawangan Sarawak Muhamad Firdaus Haris Fadzilah berkata, SPA sememangnya membuka peluang kepada mereka yang berkelayakan daripada kolej swasta termasuk perubatan atau kejururawatan.

“Bagi calon bukan kerajaan (kelayakan daripada kerajaan) misalnya jururawat, SPA akan mengambil mereka sekiranya terdapat keperluan atau diminta oleh Kementerian Kesihatan.

“Maka, ia (kekosongan) hanya dibuka bergantung kepada permintaan kesihatan, misalnya tahun lepas kira-kira 500 calon daripada swasta yang kita temu duga dan ramai di kalangan mereka sudah berkhidmat di hospital sedia ada,” ujarnya.

Menurut beliau, tugas SPA hanya melantik dan menapis calon yang terbaik untuk diserap serta berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan taklimat mengenai Tips dan Panduan Menghadiri Peperiksaan dan Pusat Penilaian sempena Seminar S.P.A Outreach anjuran Akademi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (ASPA) di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, semalam.

Muhamad Firdaus berkata, walaupun seseorang calon swasta itu memiliki pengalaman atau latihan baik di institusi mereka sebelum ini, ia tidak memberi jaminan kerana lebih banyak ujian lain akan dinilai.

“Pengalaman bukan asas kerana ia tidak ditetapkan dalam pengambilan calon, namun pengalaman hanya dinilai semasa sesi temu duga sahaja,” tegasnya.

Beliau memberitahu, sektor awam menawarkan persaingan hebat berbanding satu ketika dahulu kerana ia kini menjadi pilihan utama pencari kerja berbanding kerja di sektor swasta.

“Buktinya apabila pada proses tapisan awal, kita akan menerima sebanyak 40,000 pemohonan tetapi hanya 2,000 atau 3,000 sahaja untuk peperiksaan,” katanya.

Tambah beliau, bagi setiap satu kekosongan jawatan 15 orang calon akan dipanggil untuk temu duga dan jika terdapat 100 kekosongan maka 1,500 calon akan dipanggil.

“Dengan situasi itu, ia memerlukan kita memilih dan menilai calon dengan sebaiknya serta melihat kriteria yang betul memenuhi jawatan,” katanya lagi.

Sebagai  Pihak Berkuasa Melantik (PBM) yang bertanggungjawab menguruskan pelantikan pegawai-pegawai awam dalam perkhidmatan awam persekutuan, cabaran utama yang dihadapi oleh SPA ialah memilih pegawai awam yang terbaik bagi melaksanakan agenda pembangunan negara, katanya.

Seramai 166 peserta hadir pada seminar itu semalam yang merupakan siri keenam sejak Januari lalu selepas di Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan kembali ke Kuching semula dan Kota Samarahan dengan pihak penganjur menyasarkan lebih 1,000 peserta terlibat dalam keenam-enam siri berkenaan.

Advertisement