Anda di sini

Rubiah risau peningkatan gejala sosial di Samarahan

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang melahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan gejala sosial di kawasan itu sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, berdasarkan statistik Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), gejala sosial khasnya melibatkan golongan belia dilihat semakin meningkat.

“Banyak gejala sosial berlaku di kawasan kita, malah berdasarkan statistik yang dimaklumkan oleh PEMADAM dan pihak polis, ia semakin meningkat saban hari,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penghayatan ‘Marhaban Ya Ramadan’ dan Penyerahan Bantuan Raya di Masjid Al-Muttaqin di sini semalam.

Rubiah memberitahu, masalah peningkatan gejala sosial di kawasan itu mungkin disebabkan kurangnya ilmu dan didikan akhlak.

“Justeru, menerusi program penghayatan Ramadan ini, saya berharap ia dapat menjadi platform untuk membangun dan mendidikan golongan belia tentang keperibadian yang murni,” tegasnya.

Program dua hari itu disertai kira-kira 100 pelajar dari empat sekolah menengah di kawasan Kota Samarahan iaitu SMK Muara Tuang, SMK Kota Samarahan, SMK Hajjah Laila Taib dan SMK Asajaya.

Tambahnya, program itu juga dapat memberi pendedahan khasnya kepada pelajar tentang amalan yang perlu dilakukan semasa Ramadan.

“Selain itu, mereka juga menjalankan aktiviti bergotong royong membersih pekarangan masjid dan mendengar ceramah agama yang pastinya dalam memberi pengetahuan dan didikan bagi membentuk akhlak yang baik di kalangan mereka,” ujarnya.

Majlis penyerahan bantuan raya itu disempurnakan oleh isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu.

Advertisement