Anda di sini

Pesta air Long Lama harus diiktiraf

Advertisement

Senaraikan sukan air itu sebagai satu acara dalam kalendar pelancongan

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

MIRI: Pesta air Long Lama harus diiktiraf dengan meletakkannya dalam kalendar acara tahunan Kementerian Pelancongan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, tarikan utama pada sukan air itu saban tahun adalah perlumbaan bot berenjin pam.

“Kita ada kelebihan dan tarikan yang saya lihat pada perlumbaan bot ini ialah ramai peserta datang dari jauh hanya untuk menyertainya,” ujarnya pada perasmian Karnival Komuniti 1Malaysia (K1M) Long Lama 2014 di sini semalam.

Menurutnya, perlumbaan enjin bot itu menarik peserta sejauh kawasan Belaga dan juga negara jiran iaitu Brunei.

Katanya, itu adalah petanda walaupun hanya bergelar pekan kecil namun mampu menjadi tarikan kerana keunikan tersebut dan promosi harus dipergiat sama ada di peringkat negeri atau luar negara.

Dennis turut memberitahu salah satu faktor pekan itu senang untuk didatangi ialah kerana kemudahan jalan rayanya yang telah berubah.

“Akses kepada jalan raya lebih baik berbanding pada masa dahulu juga adalah satu faktor menyumbang kepopulariti pekan Long Lama sekali gus sukan air,” jelas beliau.

Sebelum itu, beliau turut menjenguk beberapa program serta yang turut dilaksanakan gerai-gerai jualan, pertandingan mewarna kanak-kanak, futsal wanita dan pertandingan ayam jantan tercantik.

Bagi sukan air pula, ia dibahagikan kepada kategori perlumbaan bot laju dan perlumbaan bot enjin pam.

Dennis turut mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada K1M Long Lama, manakala Menteri Muda Kemudahan Awam, Datuk Sylvester Entri dan Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau masing-masing menyumbangkan MRP bernilai RM5,000.

Turut berucap Ketua Masyarakat Cina Long Lama Penghulu Desmond Yap yang juga Pengerusi K1M Long Lama dan Pengerusi Penganjur Karnival K1MLong Lama 2014.

Advertisement