Anda di sini

Maracana bergema

Advertisement

Final Piala Dunia 2014 pada awal pagi esok pertemu gergasi bola sepak Eropah dan Amerika Selatan

RIO DE JANEIRO, Brazil: Pasukan Jerman yang memburu tempat dalam sejarah akan cuba memusnahkan impian Lionel Messi untuk dinobatkan di Piala Dunia bersama Argentina pada jam 3.00 pagi esok (Isnin waktu Malaysia) apabila karnival bola sepak selama sebulan mencapai kemuncaknya di Stadium Maracana.

Perlawanan ke-64 dalam salah satu Piala Dunia terbaik dalam sejarah melagakan Eropah dengan Amerika Selatan – satu pertarungan di antara dua kuasa besar bola sepak di salah sebuah arena paling bersejarah dalam sukan bola sepak.

Jerman mahu menjadi pasukan pertama dari Eropah yang memenangi Piala Dunia di benua Amerika, dengan keazaman untuk akhirnya menerima ganjaran bagi sebuah generasi emas ekoran beberapa kegagalan yang tipis untuk memenangi kejuaraan.

Sementara itu Messi memburu kemenangan yang akan menutup buat selamanya mulut pengkritik yang masih berpendapat ketiadaan kejuaraan Piala Dunia menghalangnya daripada ditempatkan di sisi Diego Maradona dalam dewan keagungan bola sepak.

Momentum berpihak dengan Jerman ekoran kemenangan besar 7-1 yang mengejutkan ke atas Brazil dalam perlawanan separuh akhir, menerusi kombinasi permainan serangan yang cemerlang dan kelemahan pertahanan.

Semua mata Jerman kini tertumpu kepada stadium bersejarah di Maracana serta peluang untuk memenangi hadiah mutlak selepas kalah sama ada dalam perlawanan akhir atau separuh akhir di empat kejohanan utama terakhir mereka.

Dari atas hingga ke bawah, tulang belakang Jerman telah mempamerkan kualiti.

Manuel Neuer kelihatan kebal sebagai penjaga gol manakala Mats Hummels ternyata kehadiran yang mantap dan lincah dalam pertahanan.

Bastian Schweinsteiger dan Sami Khedira telah membuktikan diri sebagai pasangan tengah yang digeruni, sekali gus membolehkan pemain seperti Toni Kroos dan Mesut Ozil untuk berkembang.

Thomas Mueller telah menjadi ancaman yang berbisa selaku penjaring gol – lima gol setakat ini di kejohanan ini – manakala Klose, 36, turut menyumbang dengan dua gol, sekali gus menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah kejohanan Piala Dunia.

Jaringan sebanyak 17 gol oleh Jerman di kejohanan ini – lebih dua kali ganda jumlah gol jaringan Argentina – telah disumbangkan oleh lapan pemain, satu kesaksian kepada etika berpasukan yang memenuhi skuad Joachim Loew.

“Brazil ada Neymar, Portugal ada Ronaldo, Argentina ada Messi dan Jerman ada sebuah pasukan,” kata satu rumusan dalam Twitter yang telah disebarkan dengan meluas pada minggu ini.

Berhadapan dengan jentera serangan Jerman adalah pasukan Argentina yang diketuai Messi, superstar Barcelona yang berusia 27 tahun.

Pemain terbaik dunia sebanyak empat kali itu memulakan kejohanan dengan tekad untuk menebus kekecewaan di dua kejohanan Piala Dunia yang mengecewakan pada 2006 dan 2010.

Seperti Maradona 28 tahun lalu, dia telah mengheret pasukannya ke garisan penamat pada saat-saat penting di Brazil.

Dia membuka jaringan dengan satu gol individu ketika menentang Bosnia, satu gol kemenangan pada waktu kecederaan untuk menewaskan Iran, dan dua lagi gol ketika menentang Nigeria.

Larian dan hantaran Messi mencipta gol kemenangan dalam masa tambahan bagi Angel Di Maria ketika menentang Switzerland.

Walaupun dia pada umumnya tidak menonjol dalam kemenangan ke atas Belanda pada peringkat separuh akhir, Jerman tahu satu kesilapan pada awal pagi esok boleh menyajikan saat kepada Messi untuk memenangi perlawanan, sama seperti apa yang berlaku kepada Maradona dalam perlawanan akhir menentang Jerman pada 1986.

Dikawal ketat sepanjang perlawanan oleh Lothar Matthaus, Maradona masih mencipta gol yang memenangi perlawanan – satu bola lorongan tendangan pertama yang cantik untuk melepaskan Jorge Burruchaga bagi mencatatkan kemenangan 3-2.

Bagaimanapun, walaupun ada banyak persamaan dengan 1986, pertemuan terakhir di Piala Dunia antara kedua-dua negara mungkin lebih relevan – kemenangan 4-0 Jerman pada peringkat suku akhir 2010. — AFP

Advertisement