Anda di sini

Majlis Penutupan Gawai Tematu ceria dan berwarna-warni

Advertisement

KEKAL TRADISI: Belia Kampung Tematu lengkap berpakaian Bidayuh merakamkan gambar kenangan di Rumah Gawai yang dibina khas untuk majlis penutupan Gawai.

UNIK: Penampilan istimewa oleh wanita Semban, dari Padawan. (Gambar atas)

CANTIK: Tiga belas peserta Dayung Gawai Tematu 2014 tampil cantik dengan pakaian tradisional Bidayuh masing-masing. (Gambar bawah)

 

 

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: MAJLIS Penutupan Gawai Tematu dan Bitanding Dayung Gawea Tematu 2014 berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 1,000 orang tetamu dari pelbagai latar belakang.

Bertemakan ‘Bikobang Pinyidip Asal Tradisi Oto Bidayuh’, majlis tersebut dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Pengguna dan Pengurusan Dewan Serbaguna Kampung Tematu.

Menurut pengerusi pengelola John Pata, pelbagai aktiviti diadakan sempena majlis tersebut bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 11.45 malam Sabtu, 5 Julai 2014.

Antara aktiviti yang diadakan ialah kempen derma darah, pertandingan menyumpit, kraf tangan, tuak, masak ayam dalam buluh serta pameran dan jualan hasil pertanian, makanan dan minuman.

Pada sebelah malam pula, majlis diteruskan lagi dengan pertandingan Dayung Gawea Tematu 2014 yang disertai oleh 13 orang peserta terdiri daripada gadis-gadis Bidayuh dari kawasan berhampiran.

“Meskipun ini merupakan kali pertama kami menganjurkan majlis ini namun, sambutan yang diterima daripada penduduk kampung amnya amat memberangsangkan.

“Justeru kami berharap sokongan dan kerjasama ini akan berterusan bukan sahaja dalam  penganjuran majlis penutupan Gawai tetapi dalam apa jua aktiviti dan program yang akan diadakan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memeriahkan lagi majlis pada malam itu, turut ditampilkan wanita berpakaian tradisional dari Kampung Semban, Padawan, persembahan ‘live band’ serta tarian tradisional.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan sape oleh pemain sape terkemuka Mathew Ngau yang didatangkan khas untuk majlis ini.

Orang ramai yang hadir juga berpeluang  membawa pulang hadiah menarik seperti mesin basuh, televisyen, periuk elektrik, kipas angin, dapur gas, telefon bimbit dan banyak lagi menerusi cabutan tiket bertuah.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.

Advertisement