Anda di sini

Lau sedia pertahan gelaran

Advertisement

Pemain Kelab Golf Sibu itu jadi ancaman Lee Kah Tung

KUCHING: Juara bertahan, Lau Ching Leong bersedia untuk mempertahankan gelaran pada pertandingan golf Terbuka Samarahan edisi keempat yang akan berlangsung di Samarahan Country Club (SCC) pada 12 hingga 14 September depan.

Pemain dari Kelab Golf Sibu itu bakal menjadi ancaman kepada rakan sepasukan, Lee Kah Tung yang mengintai melakar hatrik selepas memenanginya pada 2011 dan 2012.

Lee hanya dibezakan dengan satu pukulan tumpas di tangan Ching Leong untuk menduduki tempat keempat pada edisi tahun lalu.

Terbuka Samarahan bermula sejak 2011 dan juara ditentukan menerusi saingan di 36 lubang.

Pada 2012, ia dinaikkan kepada 54 lubang dan pada 2013 kejohanan itu mendapat persetujuan Persatuan Golf Malaysia (PGM) untuk dimasukkan ke dalam Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR) yang dipantau oleh badan golf R & A Ltd.

Setakat ini, kejohanan itu adalah yang kedua mendapat status WAGR selain Terbuka Amatur Sarawak.

Bagi meningkat mutu permainan, jawatankuasa penganjur menetapkan had handikap kepada 14 tanpa ‘cut off’ bagi menentukan juara berdasarkan 54 lubang.

Pemenang akan membawa pulang Trofi Cabaran Brian Chien Chai Ung termasuk baucar peralatan bernilai RM3,500 sementara juara nett juga akan ditentukan melalui 54 lubang.

Turut diperkenalkan acara berpasukan dua pemain lelaki yang akan berentap dalam kategori gross sebanyak 36 lubang.

“Dengan penyertaan beberapa pemain amatur terkemuka dari setiap kelab golf di Sarawak, kejohanan ini akan menyaksikan saingan menarik bagi merebut kejuaraan,” kata penaja dan penderma kejohanan, Brian Chien yang juga presiden SCC.

“Kita juga telah menghantar jemputan kepada ahli-ahli gabungan antarabangsa dan buat kali pertamanya kita mungkin dapat melihat penyertaan lebih ramai pemain dari luar negara.

“Ini membayangkan sukan golf akan menjadi daya tarikan utama pelancong ke Sarawak pada masa akan datang,” tambahnya.

Menurut Chien, Terbuka Samarahan merupakan salah satu daripada 12 kejohanan yang disokong oleh SGA di Sarawak dan PGM pada 2014.

Chien juga berharap pemain tempatan akan mengambil peluang ini untuk bermain di SCC, satu-satunya padang golf yang mempunyai 18 lubang di Samarahan.

“Standard padang golf SCC semakin meningkat dan pemain harus merasai peluang bermain di sana,” katanya.

Kejohanan ini terbuka kepada pemain golf lelaki dengan Indek NHS 12.9 atau handikap 14 ke bawah.

Yuran penyertaan berjumlah RM300 termasuk perkhidmatan buggy (selama tiga hari), latihan satu pusingan, minum pagi dan makan tengahari dan beberapa barangan sampingan.

Pemenang ‘hole-in-one’ juga berpeluang membawa pulang kereta dan hadiah wang tunai.

Turut diadakan sepanjang berlangsungnya kejohanan adalah klinik golf, demo peralatan golf dan cabutan bertuah dengan hadiah bernilai keseluruhan RM15,000.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi V Ravindran di talian 019-2700734 atau email [email protected].

Advertisement