Anda di sini

Kursi Tun Pehin Sri Taib ditubuh di UNIMAS

Advertisement

SIDANG MEDIA: Fadillah ditemani Kadim (duduk kanan) bersama Pergerakan Pemuda PBB menjelaskan tentang penubuhan Kursi Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang akan diwujudkan di UNIMAS.

Kaji idea, asas pentadbiran dan sumbangan dalam kejayaan menerajui Sarawak: Fadillah

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Kursi Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan ditubuhkan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk mengkaji idea, asas pentadbiran dan sumbangannya yang menerajui negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sehingga membawa kejayaan yang amat cemerlang dalam aspek pembangunan di Sarawak.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Datuk Fadillah Yusof memberitahu untuk itu, pihaknya bersama UNIMAS akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan negeri bagi mendapat persetujuan untuk menubuhkan kursi itu.

Malah, menurutnya, beliau telah mengarahkan gerak kerja Pemuda PBB untuk mendapatkan tarikh perjumpaan dengan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud secepat mungkin.

“Idea penubuhan kursi ini adalah hasil jalinan kerjasama antara Pemuda PBB dan UNIMAS bagi mengkaji idea, asas pentadbiran dan sumbangan Tun Pehin Sri Taib yang menerajui negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sehingga membawa kejayaan yang amat cemerlang dalam aspek pembangunan di Sarawak,” ujarnya pada sidang media selepas mesyuarat berkaitan perkara itu di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Menteri Kerja Raya itu berkata, Pemuda PBB sebelum ini mengemukakan cadangan untuk menubuhkan sebuah Institut Pemikiran Abdul Taib Mahmud di UNIMAS, namun dalam perjumpaan dengan universiti berkenaan, UNIMAS sebaliknya mencadangkan supaya institut sedia ada digunakan bagi tujuan itu dan seterusnya sebuah kursi Tun Pehin Sri Taib diwujudkan.

“Ia sebagai salah satu kursi yang memberi fokus kepada kajian berhubung kait dengan idea-idea pembangunan Tun Pehin Sri Taib dan juga fokus kepada pembangunan di Kepulauan Borneo,” jelasnya.

Fadillah berkata langkah seterusnya adalah untuk mencari dana dan Pemuda PBB bersetuju untuk menggerakkan usaha mencari dana serta sumber yang dianggarkan tidak kurang daripada RM2.5 juta bagi mewujudkan kursi itu.

Beliau memberitahu pemimpin semasa dan masa depan perlu mengkaji dan memahami sejarah perjuangan Tun Pehin Sri Taib, bagaimana idea-ideanya berjaya mengubah Sarawak daripada sebuah negeri yang agak ketinggalan satu ketika dahulu kepada sebuah negeri yang begitu maju pada masa ini.

Katanya, UNIMAS dalam taklimat turut memberitahu bahawa kejayaan Tun Pehin Sri Taib tidak seharusnya dilihat dari satu skop sahaja tetapi perlu meliputi antara disiplin yang melampaui pelbagai fakulti.

Menurutnya kajian perlu dilihat dalam pelbagai segi gaya kepimpinannya termasuk dari segi kajian politik, budaya, sosioekonomi, pembangunan fizikal, infrastruktur, pembangunan sumber dan juga modal insan.

Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi menzahirkan rasa bangga dan besar hati kerana pihaknya dapat turut mengambil bahagian dalam usaha mengkaji pemikiran tokoh terbilang Sarawak.

“Kita akan bersama-sama dalam usaha ini khasnya untuk anak Sarawak dan generasi seterusnya,” ujarnya.

Advertisement