Anda di sini

Kerajaan perlu bina sekurangnya 15,000 unit perumahan awam PPR

Advertisement

MIRI: Kerajaan perlu membina sekurang-kurangnya 15,000 unit perumahan awam di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) ekoran keperluan penting rakyat Sarawak.

Ketua PAS Miri, Jofri Jaraiee berkata pengumuman kerajaan membina 1,500 unit PPR di Sarawak adalah tidak mencukupi berikutan jumlah pertambahan penduduk Sarawak yang semakin merunsingkan.

“Kita menggesa kerajaan pusat menambahkan peruntukan perumahan kos rendah dan mampu milik untuk rakyat Sarawak khususnya mereka yang kurang berkemampuan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menurutnya, rata-rata rakyat Sarawak yang kurang berkemampuan menumpang di rumah keluarga masing-masing meskipun sudah berkeluarga kerana tidak mampu membeli rumah.

“Dengan adanya kos perumahan awam yang sederhana dan murah, masalah setinggan dan mereka yang tidak mampu memiliki rumah sendiri dapat diatasi dalam masa terdekat,” ujarnya.

Malah, harga rumah semakin meningkat menjadi beban kepada golongan kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri dan kerajaan harus melihat isu ini.

“Kita menyarankan kerajaan untuk membina PPR di lapan lokasi di Sarawak agar mereka kurang mampu juga mampu memiliki rumah sendiri dengan harga berpatutan,” jelasnya.

Jofri berkata, pekerja asing yang bekerja di sini juga turut menjadi faktor kekurangan rumah kerana golongan itu mampu membeli rumah meskipun dijual pada harga yang tinggi.

“Atas alasan itu, kontraktor mensasarkan membina rumah mampu dibeli warga asing kerana tukaran mata wang asing jauh lebih besar berbanding Ringgit Malaysia.

“Dalam soal ini, rakyat akan menanggung risiko kerana apabila harga rumah naik secara mendadak maka secara langsung mengurangkan peluang kepada rakyat memiliki rumah sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Perumahan Negara akan membina 1,500 unit perumahan awam di bawah PPR di lapan lokasi seluruh Sarawak tahun ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata sebagai tambahan kepada projek-projek perumahan awam lain yang dijalankan di sini.

Advertisement