Anda di sini

Hayati fadilat Ramadan sebaiknya: Jamilah

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Ramadan bukan sahaja untuk masyarakat Islam menunaikan kewajipan dalam Rukun Islam tetapi perlu menghayati fadilat bulan itu sebaik-baiknya.

Isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu berkata, Ramadan juga bulan kemuliaan untuk menggandakan ibadah bukan sekadar ibadah berpuasa, tetapi juga ibadah bersedekah.

Malah, menurutnya, dengan berpuasa masyarakat Islam dapat memelihara kesihatan kerana ia boleh membuang toksin yang telah sekian lama berada dalam tubuh badan.

“Menurut ahli sains dan perubatan, makanan berlebihan biasanya disimpan dalam organ-organ dalaman kita dan tahukah anda dengan berpuasa ia membolehkan kita membuang segala toksin yang ada?

“Justeru, saya mengingatkan agar masyarakat memanfatkan bulan Ramadan ini sebaik-baiknya dengan menghayati segala fadilatnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penghayatan ‘Marhaban Ya Ramadan’ dan Penyerahan Bantuan Raya di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan semalam.

Jamilah yang juga Pengerusi PERKIM Cawangan Samarahan berkata, dengan menghayati fadilat Ramadan, maka masyarakat Islam dapat menjadi seorang mukmin yang cemerlang.

Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat Islam khasnya golongan belia agar sentiasa berpegang dengan ajaran Islam dan menjauhi setiap larangan-NYA.

“Bulan Ramadan juga platform untuk kita mengukuhkan benteng keimanan dalam membentuk keperibadian yang mulia,” tambahnya lagi.

Dalam majlis itu, Jamilah turut mengagihkan sumbangan raya kepada 60 orang yang terdiri kalangan golongan kurang bernasib baik dan ibu tunggal serta sumbangan kepada 100 pelajar sekolah.

“PERKIM sentiasa prihatin tentang kebajikan golongan yang memerlukan dan program sebegini akan kita anjurkan setiap tahun bagi membantu golongan memerlukan,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Residen Samarahan Abdul Rahman Sebli Senusi dan tetamu kehormat lain.

Advertisement