Anda di sini

Episod pelajar ‘pailang’ harus menjadi teladan

Advertisement

MIRI: Tiga pelajar ‘pailang’ yang diarahkan menjalani pemulihan akhlak di Sekolah Tunas Bakti (STB) harus dijadikan teladan dan pengajaran kepada kumpulan pelajar-pelajar lain terutamanya pelajar bermasalah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional Sarawak, Wan Zain Syed Mohdzar berkata hukuman terhadap pelaku jenayah tidak mengira umur dan harus menjadi peringatan kepada semua.

“Kita berharap kejadian buli di kalangan pelajar di Sarawak tidak lagi berulang dan hukuman bagi ketiga-tiga ‘pelajar pailang’ itu harus dijadikan teladan kepada pelajar di semua sekolah,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Pada masa sama, ibu bapa atau penjaga pelajar harus melaporkan kejadian buli kepada pihak penguatkuasa tidak kira sama ada ia berlaku di dalam kawasan sekolah atau sebaliknya.

“Kita mahu semua pihak memerangi kejadian buli dan jika orang awam melihat kejadian buli berlaku di sekolah atau luar sekolah maka ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa,” tegasnya.

Menurutnya, ahli-ahli PIBG sekolah juga harus membantu dan bersama pihak sekolah membanteras masalah buli dan jika terdapat anak-anak mereka yang terlibat tindakan juga perlu dilakukan.

“Jika ada kalangan pelajar bermasalah itu terdiri daripada anak-anak ahli-ahli PIBG maka mereka juga sebenarnya tidak terlepas tindakan undang-undang.

“Jangan pula apabila anak-anak mereka ditangkap kerana kes buli, ahli-ahli PIBG itu bertindak memboikot aktiviti sekolah dan salah satu penganiayaan ‘halus’ terhadap pihak sekolah,” katanya.

Wan Zain turut menjelaskan bahawa guru-guru juga harus menerapkan displin tinggi di sekolah bagi memastikan tiada lagi kegiatan gengsterisme berlaku di sekolah.

Mahkamah Majistret di sini kelmarin mengarahkan ketiga-tiga pelajar berkenaan menjalani pemulihan akhlak di STB selama dua tahun dan mereka masing-masing ditempatkan di STB Miri, Melaka dan Terengganu.

Sebelum ini, mereka didakwa di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain didakwa mendatangkan kecederaan, juvana pertama turut didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana dengan niat mengancam hendak mendatangkan kecederaan kepada pengadu.

Advertisement