RIO DE JANEIRO, Brazil: Bintang Brazil yang cedera Neymar ada dalam senarai pendek bagi pemain terbaik Piala Dunia selain tujuh nama lain dari perlawanan akhir Piala Dunia pada awal pagi Isnin di antara Jerman dan Argentina.
Lionel Messi, Javier Mascherano dan Angel Di Maria dari Argentina juga ada dalam senarai yang diumumkan oleh FIFA pada Jumaat lepas.
Kapten Messi sudah menjaringkan empat gol menjelang perlawanan akhir.
Jerman ada empat wakil, didahului kapten Phillip Lahm, penjaring empat gol Thomas Mueller, Toni Kroos dan Mats Hummel.
Neymar, yang menjaringkan empat sebelum dia mengalami keretakan ruas tulang belakang, bintang Colombia, James Rodriguez, dengan enam gol, dan penyerang veteran Belanda Arjen Robben melengkapkan 10 pemain yang disenaraikan.
Pemenang anugerah Bola Emas bagi pemain terbaik pada masa lalu termasuk Diego Forlan dari Uruguay (2010), Zinedine Zidane (2006), penjaga gol Jerman Oliver Kahn (2002) dan legenda Argentina Diego Maradona (1986).
Anugerah penjaga gol terbaik akan dipilih dari antara Keylor Navas dari Costa Rica, Manuel Neuer dari Jerman, dan Sergio Romero, penjaga gawang Argentina yang menyelamatkan dua tendangan dalam penentuan tendangan penalti pada peringkat separuh akhir menentang Belanda.
Pemain muda kejohanan akan ditentukan di antara bintang muda Belanda, Memphis Depay, dan dua pemain muda Perancis, Paul Pogba dan Raphael Varane.
Pemenang, yang akan dipilih oleh kumpulan sokongan teknikal FIFA, akan diumumkan selepas perlawanan akhir pada awal pagi esok. — AFP