Anda di sini

Atlet judo Sarawak dipilih wakil negara

Advertisement

KUCHING: Atlet judo Sarawak Andrew Sia Kah Huong terpilih mewakili negara pada Kejohanan Judo Terbuka Asia Taipei yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Julai di Universiti Taipei, Taiwan.

Pemenang pingat perak pada SUKMA XVI dalam acara 100kg ke bawah itu sebelumnya menolak tawaran untuk menyertai skuad negara pada Februari tahun ini untuk bertanding pada Terbuka Hong Kong.

Justeru, beliau berjanji akan menggunakan peluang kali ini untuk memberikan aksi terbaik di Taiwan.

“Saya menolak tawaran pertama kerana masih belum bersedia. Namun kini saya cukup bersedia dan mahu menimba seberapa banyak pengalaman berharga di Taiwan,” katanya.

Andrew yang telah menamatkan persekolahan kini membantu neneknya di kedai yang terletak di Kuching.

“Saya sangat gembira dan begitu teruja setelah terpilih untuk mewakili Malaysia,” tambahnya.

Sebagai persiapan menghadapi kejohanan tersebut, Andrew telah menjalani latihan ketat setiap petang Isnin, Rabu dan Jumaat selama 3-4 jam di pusat elit judo yang terletak di Jalan Pending.

“Sasaran saya adalah untuk melepasi pusingan awal dan berharap untuk memperolehi sebanyak mungkin pengetahuan baharu dari peserta Asia yang lain,” katanya.

Andrew masih layak untuk bertanding pada SUKMA 2015 d Kuala Lumpur dan mahu menggunakan pengalaman pada kejohanan ini untuk memantapkan persediaannya.

Selain Andrew, atlet Sarawak yang turut terpilih ialah Brenton Sim yang akan bertanding dalam kategori 81kg ke bawah.

Brenton, pemenang emas pada 2011 dan perak pada 2013 sedang melanjutkan pengajian di Universiti Taiwan sambil turut menjalani latihan judo di sana.

Kedua-dua atlet juga akan menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Taiwan selama seminggu sebaik selesai kejohanan.

Sementara itu, jurulatih Anderson Venus gembira setelah Andrew terpilih untuk mewakili negara ke kejohanan tersebut.

“Ini peluang terbaik bagi Andrew meningkatkan lagi kemahiran dan prestasinya kerana beliau sukar untuk mencari rakan ‘sparring’ di sini.

“Dengan menyertai kejohanan di luar, Andrew dan kita dapat tahu sejauh mana tahap kemampuannya,” menurut Anderson.

Advertisement