Anda di sini

Sokongan perlu untuk capai kualiti sungai tahap Kelas 2B

Advertisement

KUCHING: Sokongan masyarakat umum diperlukan bagi mencapai kualiti sungai sekurang-kurangnya pada tahap Kelas 2B bagi keseluruhan sungai di negeri ini.

Menurut Kontroler Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Nur Aida Azman, terdapat hanya dua sungai bersih di wilayah selatan Sarawak.

“Sungai-sungai itu ialah Batang Skrang dan Batang Undup sementara Batang Lupar, Batang Samarahan, Sungai Maong, Sungai Padungan, Sungai Sekama dan Sungai Tabuan adalah tercemar.

“Bagaimanapun, Program Pemantauan Kualiti Air Sungai (RWQMP) adalah fokus ke atas Sungtai Tabuan dan Sungai Sarawak dengan pemantauan bulanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya mengenai pembangunan mampan sempena program ‘Youth Green X-Change’ di Bilik Persidangan AZAM, Kompleks Azam Jalan Crookshank di sini kelmarin.

Tambah Nur Aida, selain program akan datang seperti ‘1 State, 1 River’ yang akan dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri, masyarakat turut digalak memainkan peranan mereka dalam menjaga kebersihan sungai.

Dalam pada itu, katanya, setakat 2012 terdapat 59 batang sungai dan 258 stesen pemantauan di seluruh negeri.

Advertisement