Anda di sini

Profil kampung perlu dihantar ke Pejabat Residen dan Daerah

Advertisement

SRI AMAN: Setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bahagian ini diingatkan agar menyediakan profil kampung masing-masing untuk rujukan ahli JKKK sendiri serta agensi kerajaan berkaitan.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata penyediaan profil kampung tersebut bukan bertujuan untuk disimpan sebaliknya perlu dihantar ke Pejabat Residen dan Pejabat Daerah.

“Profil kampung bukan hanya diperlukan Pejabat Residen atau Pejabat Daerah, namun agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) untuk rujukan agensi tersebut.

“Justeru, perlu diingatkan setiap tuai rumah, ketua kampung mahupun pengerusi JKKK bekerjasama berbincang bagi bersama-sama menyiapkan dokumen ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Ketua Masyarakat Cina (Kapitan) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang di sini semalam.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, maklumat dalam profil kampung perlu dikemas kini dari semasa ke semasa kerana setiap tiga bulan mahupun enam bulan atau setahun maklumat tersebut sentiasa berubah.

Oleh itu, peranan ahli jawatankuasa JKKK amat penting dalam mengemas kini profil kampung.

“Kegagalan JKKK menghantar laporan bulanan aktiviti dan sebagainya kepada agensi terlibat menyebabkan sesebuah JKKK tersebut digelar tidak aktif dan sebagainya,” katanya.

Turut hadir Residen Bahagian Sri Aman Jonathan Lugoh, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Sri Aman Hendry Kran, Temenggung Sii Toh Peng dan Penghulu Lee Siang Hua.

Seramai lapan orang Kapitan Kaum Cina menerima sijil pelantikan berkenaan.

Advertisement