Anda di sini

Empat pemain Sarawak dipanggil sertai latihan skuad kebangsaan

Advertisement

KUCHING: Empat pemain skuad bola keranjang Sarawak Eagles yang beraksi pada Kejohanan Bola Keranjang Bawah 20 Tahun Malaysia dipanggil menyertai sesi pemilihan skuad kebangsaan.

Julian Sia Yiik Heng, Muhammad Afifi Tahar, Bryan Sim dan James Jong Tze Yen dipilih setelah menampilkan persembahan cemerlang pada kejohanan kebangsaan edisi kedua berlangsung di Stadium MABA Kuala Lumpur.

Mendapat bimbingan daripada Greg Noel Gurr dari Australia, Sarawak Eagles sekadar mencatat satu kemenangan dan tiga kekalahan sekali gus terkeluar daripada saingan peringkat kumpulan.

Sarawak Eagles membuka kempen dengan kemenangan 75-67 ke atas KL The One namun tewas tiga kali berturut-turut di tangan JB Taman Daya (76-37), Kedah Basketball (75-56) dan Selangor Basketball Club (70-57).

Gurr memang menjangka pasukan Sarawak tidak dapat beraksi dengan baik di peringkat kebangsaan namun yakin pemain negeri mendapat pengalaman yang amat berharga.

“Saya percaya para pemain mendapat pengalaman berharga memandangkan ini adalah langkah persediaan pertama untuk menuju SUKMA 2016 nanti,” katanya ketika ditemui sebelum skuad berlepas ke Kuala Lumpur pada penghujung Jun lalu.

Lima pemain skuad tersebut berusia 20 tahun manakala selebihnya berusia 17 atau 18 tahun.

Pemain Sarawak Eagles yang lain termasuk Liu Jia Jun, Kelvin Huong Nai Sin, Simon Ngu Siong Yung, Gary Yong Yew Nin and Wong Hung Ling.

Mereka ini akan membentuk skuad Sarawak bagi menghadapi SUKMA XIX di sini pada 2016.

 

Advertisement