Anda di sini

Dalang mungkin orang tempatan

Advertisement

TETAP CERIA: Meskipun terpaksa menempuh gelora lautan ketika berpuasa, namun anggota APMM tetap ceria semasa berbuka di atas kapal.

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak percaya kemungkinan dua kes rompakan kapal di perairan Tanjung Datu dan Bintulu didalangi oleh rakyat tempatan.

Ketua Penguat Kuasa APMM Sarawak, Laksamana Pertama Ismaili Bujang Pit berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan pihaknya kini sedang memburu suspek-suspek terbabit dengan kerjasama agensi penguat kuasa yang lain.

Bagaimanapun, beliau yakin kedua-dua kes itu dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat berdasarkan kepada maklumat yang sudah dikumpulkan.

“Siasatan kes rompakan lebih 1,000 liter minyak diesel di perairan Bintulu dan Tanjung Datu masih diteruskan.

Kita yakin dapat menyelesaikan kes ini tidak lama lagi.

“Kita mengklasifikasikan sebagai kes rompakan dan bukan serangan lanun kerana berlaku di kawasan 200 batu nautika dari pantai kita.

Jika berlaku di lautan terbuka baharulah kita anggap sebagai serangan lanun,” katanya pada sidang media di atas kapal KM Stapa di sini petang kelmarin.

Sidang media tersebut diadakan sempena majlis berbuka puasa bersama media dihoskan beliau bersama 15 anak kapal KM Stapa, yang mengawal kawasan perairan sekitar 200 batu nautika di persisiran pantai Miri termasuk pelantar minyak di utara Sarawak.

Dalam pada itu, Ismali menyifatkan kes rompakan itu serius dan harus ditangani dan dibendung segera bagi mengelak ia menjejaskan keselamatan kapal yang belayar di Sarawak.

Mengulas lanjut, APMM juga masih merangka pelaksanaan operasi-operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta kegiatan yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Perikanan, Akta Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai akta melibatkan pencemaran alam sekitar.

APMM terlibat dalam 13 carilamat di seluruh Sarawak dalam pelbagai kejadian termasuk kapal karam, mangsa hilang, jatuh laut serta rompakan.

Pada masa yang sama, sejak Januari hingga semalam APMM wilayah Sarawak beroperasi sebanyak 1,170 hari di laut, melaksanakan 1,440 pemeriksaan ke atas kapal.

Sebanyak 38 kes tangkapan membabitkan nelayan asing dan penduduk tempatan dilakukan kerana menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan rondaan di perairan negeri ini menggunakan enam kapal APMM sedia ada.

“Semua kapal berkenaan ditugaskan secara bergilir untuk mengawasi aset dan kawasan perikanan yang terdapat di negeri ini daripada diceroboh,” katanya.

 

Advertisement