Anda di sini

Cadangan ‘koridor hidupan liar’ tingkat ekosistem Borneo

Advertisement

KUCHING: Cadangan ‘koridor hidupan liar’ yang menghubungkan kawasan-kawasan dilindungi dari Kalimantan ke Sabah boleh membantu meningkatkan ekosistem yang kaya di Borneo.

Ketua Pemuliharaan WWF-Malaysia Dr Henry Chan berkata, dengan lokasi biodiversiti di Sarawak yang berselerak, pembiakan haiwan akan terhad.

“Meskipun kita mempunyai taman negara, haiwan tidak dapat bergerak atau membiak antara spesies lain dan boleh mengancam kesihatan mereka.

“Dengan cadangan koridor hidupan liar ini, ia akan membantu migrasi haiwan,” kata Chan.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya mengenai pembangunan mampan sempena program ‘Youth Green X-Change’ di Bilik Persidangan AZAM, Kompleks AZAM di Jalan Crookshank di sini kelmarin.

Cadangan koridor merentasi sempadan yang akan bermula dari Taman Negara Sebangau hingga ke Taman Negara Gunung Kinabalu akan turut dibantu oleh sektor swasta dan kerajaan.

Jelas Chan, idea untuk koridor hidupan liar telah dikemukakan oleh Sultan Brunei pada mesyuarat ‘Heart of Borneo’ tahun lepas dan pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat.

Chan turut menyatakan WWF-Malaysia mempunyai lima kawasan pemuliharaan keutamaan (PCA) dalam usaha mereka termasuk koridor hidupan liar iaitu zon pemuliharaan utama, penggunaan tanah dan pengurusan hutan mampan, kawasan tadahan air utama bagi mengekalkan keperluan air segar termasuk penglibatan pihak berkepentingan.

“Kita berharap hasil yang diingini iaitu Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) akan dikelilingi oleh hutan yang sihat di mana kawasan yang digunakan oleh masyarakat termasuk penanaman kelapa sawit akan dihubungkan dengan nilai ekosistem dan pemuliharaan yang tinggi,” ujarnya.

Advertisement