Anda di sini

177 pemilik tanah di Simunjan tersenyum girang

Advertisement

CERIA: Vincent (empat kanan) bersama Untan (tiga kiri) dan George (kanan) bergambar dengan para penerima dividen. Turut kelihatan, Bali (tiga kanan) dan Gelanggang (dua kanan).

SIMUNJAN: Kegembiraan terpancar di wajah 177 orang pemilik tanah di Kampung Giam Lama dan Kampung Mawang apabila KTS Pelita (Simunjan) Sdn Bhd menyerahkan dividen sebanyak RM750,000 di sini pada Khamis lepas.

Dividen dari ladang kelapa sawit di dua kampung berkenaan yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Kuching, dijangka lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang jika para peserta terus memberi kerjasama penuh terhadap usaha sama antara sektor swasta, kerajaan dan pemilik tanah.

Pegawai Eksekutif Kanan KTS Pelita (Simunjan) Sdn Bhd Desmond Cheng berkata pihaknya sentiasa ingin mengeratkan kerjasama dengan para pemilik tanah agar berupaya menjana pendapatan lebih mulai tahun depan.

“Ini merupakan permulaan terhadap lebih banyak lagi situasi menggembirakan. Saya berterima kasih atas kerjasama diberikan menerusi jawatankuasa pembangunan kawasan (ADC).

“Kita berharap agar mendapat kerjasama lebih erat pada masa depan,” katanya pada majlis ringkas bagi menyampaikan dividen kepada para pemilik di pejabat KTS Pelita (Simunjan) Sdn Bhd di sini.

Cheng berkata, satu atau dua sekatan di ladang itu pada awal tahun ini menyebabkan kerugian kira-kira RM1.5 juta.

Justeru, beliau memohon para pemilik tanah menyalurkan apa jua masalah menerusi cara yang betul bagi mengelakkan kerugian tidak munasabah, yang boleh menjejaskan keuntungan tahunan yang juga menjejaskan dividen mereka.

“Sekatan sebelum ini menyebabkan kerugian RM1.5 juta, tetapi kita berusaha mengatasinya,” ujarnya.

Mengenai ADC, beliau berkata jawatankuasa itu akan mengadakan pemilihan bagi membentuk barisan anggotanya yang baharu, sambil menyatakan keyakinan jawatankuasa itu kelak adalah terdiri daripada pasukan proaktif bagi merancakkan aktiviti perladangan selain menyelesaikan isu.

Beliau berharap jawatankuasa itu bersama dengan para pemilik tanah akan bekerjasama dengan KTS Pelita (Simunjan) Sdn Bhd bagi membantu merangka contoh syarikat usaha sama (JVC).

“Kita mahu menjadikannya sebagai satu contoh JVC yang berperanan lebih baik berbanding kerjasama lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Giam Lama Bali Bandan yang juga merupakan seorang daripada penerima dividen menyeru para pemilik tanah agar bekerjasama dengan KTS Pelita (Simunjan) Sdn Bhd untuk menjana lebih banyak pendapatan pada masa depan.

Katanya, para pemilik tanah perlu memikirkan masa depan mereka dengan melihat kemungkinan menerima dividen lebih tinggi berbanding menimbulkan masalah kepada pemaju dan juga kerajaan.

“Kita sewajarnya tidak mahu lagi timbul masalah atau kekecohan kerana kita menjangkakan akan menerima dividen. Mari kita bekerjasama dengan KTS Pelita (Simunjan) Sdn Bhd ke arah ini,” ujarnya.

Memandangkan tidak semua 177 orang pemilik tanah dapat menghadiri majlis itu, Cheng bersama Ahli Jawatankuasa Perhubungan KTS Pelita (Simunjan) Sdn Bhd Datuk Vincent Chapman menyerahkan cek dividen ke rumah mereka yang berkenaan.

Seorang daripada mereka ialah Gilanggang Gambol, pemilik tanah dari Kampung Mawang yang menggunakan tongkat untuk berjalan. Ketua Kampung Mawang Gelanggang Sanga berkata, Gilanggang hidup sebatang kara.

Ladang kelapa sawit di Kampung Giam Lama dan Kampung Mawang bermula pada 2003. Ia merupakan projek usaha sama antara KTS Pelita (Simunjan) Sdn Bhd, para pemilik tanah dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) yang berperanan sebagai ejen pemantau.

Usaha sama itu merupakan inisiatif kerajaan negeri sebagai antara usaha membangunkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang terbiar.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Penolong Pegawai Tadbir Kementerian Kemajuan Tanah Untan Rajit dan Pengurus Wilayah LCDA George Lentton.

Advertisement