Anda di sini

Lapan ditahan kutip derma tanpa kebenaran JHEAINS

Advertisement

SEREMBAN: Lapan orang termasuk seorang wanita dan dua remaja ditahan dalam operasi menangani permasalahan kutipan derma tanpa kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sekitar Nilai dan bandar ini, malam kelmarin.

Operasi tiga jam bermula jam 4 petang di bazar Ramadan dan juga premis bank itu membabitkan 25 anggota Bahagian Penguat Kuasa JHEAINS dan Bahagian Penyelarasan Undang-Undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata kesemua yang ditahan berasal dari sebuah negeri di utara tanah air iaitu dua remaja lelaki berumur 14 dan 17 tahun ditahan di Nilai manakala lima lelaki dan seorang wanita berumur 20-an dan 50- an ditahan di Seremban.

“Dua remaja itu didapati mengutip derma di bawah nama satu pertubuhan yang diharamkan, manakala yang lain cuba berselindung di bawah nama satu yayasan untuk mengelirukan umat Islam kononnya kutipan itu akan disalurkan kepada masyarakat di Palestin, Syria dan negara Arab lain yang bergolak.

“Antara barangan dirampas ialah enam bekas plastik (tong duit), sembilan telefon bimbit dan sejumlah wang tunai,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya siasatan awal mendapati dalam kes ini, tiada resit bayaran diberikan kepada mereka yang menderma.

“Ini yang kita bimbang berlaku penyelewengan kerana tidak tahu berapa jumlah sebenar duit yang terkumpul dan berapa yang sebenarnya diberikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Ahmad Zaki berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 106 (4) Enekmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 kerana mengutip khairat tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Jika didapati bersalah mereka boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau tidak lebih satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Islam khususnya di negeri ini sekiranya mereka mempunyai sifat dermawan dan bermurah hati untuk menghulurkan derma agar berbuat demikian kepada yayasan atau pertubuhan yang diiktiraf oleh kerajaan.  — Bernama

Advertisement