Anda di sini

Indeks kematian akibat nahas jalan raya di Malaysia menurun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Indeks kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia menurun kepada 2.90 kematian bagi setiap 10,000 kenderaan pada tahun lalu berbanding 4.51 kematian pada 2004.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah berkata penurunan itu sekali gus membawa negara ini menghampiri sasaran indeks 2.0 kematian menjelang 2020, seiring hasrat mencapai status negara maju.

“Jika kita ingin mencapai status negara maju menjelang 2020, indeks kematian dua orang bagi setiap 10,000 kenderaan adalah angka yang wajar bagi sesebuah negara maju.

“Bagi mencapai sasaran ini JKJR bersama agensi lain sentiasa menjalankan kempen advokasi bagi memberi kesedaran tentang kepentingan keselamatan jalan raya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Katanya kaedah pengiraan indeks yang turut diguna pakai oleh banyak negara lain serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), adalah berdasarkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun berbanding jumlah kenderaan yang didaftarkan pada tahun sama.

Tam berkata pada tahun lalu sebanyak 6,915 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan iaitu menurun sedikit berbanding 6,917 kematian pada 2012.

“Memang agak mencabar untuk kita mencapai sasaran indeks kematian dua orang bagi setiap 10,000 kenderaan pada 2020 jika kita melihat kepada angka kematian setiap tahun, namun ia mampu dicapai,” katanya.

Tam berkata sikap pengguna jalan raya menyumbang sehingga 80 peratus kepada kemalangan serta kematian dan ini perkara utama yang diberi penekanan dalam kempen-kempen advokasi. — Bernama

Advertisement