Anda di sini

Piala Malaysia idaman Ngap Sayot

Advertisement

KUCHING: Seperti pasukan lain yang menyertai kejohanan bola sepak Piala Malaysia, Sarawak juga berharap piala itu akan menjadi miliknya, kata pengurus pasukan Datuk Mohd Abu Bakar Marzuki.

“Kami turunkan pasukan yang kuat untuk menghadapi kejohanan Piala Malaysia dan kami mahu menjadi juara. Semoga kami berjaya mencapai sasaran ini,” kata Abu Bakar kepada Bernama di sini pada Isnin sambil menegaskan bahawa sekiranya nanti ada pemainnya yang cedera atau digantung, ada pemain simpanan yang mampu menunaikan tugas seperti yang diharapkan.

Menurut beliau sebagai persiapan menghadapi kejohanan itu, pasukan Sarawak akan menjelajah ke Bandung untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

“Pasukan kami perlu mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan handalan di sana (Bandung) untuk mengekalkan momentumnya apabila beraksi dalam kejohanan Piala Malaysia yang sengit,” katanya.

Beliau berkata pasukan Bujang Senang akan berlepas ke Indonesia pada 17 Julai dan mengadakan tiga perlawanan persahabatan iaitu menentang Persib Bandung pada 21 Julai di Stadium Siliwangi, Persabaya Surabaya pada 23 Julai di Stadium Jatidiri dan PSIS Semarang pada 25 Julai, juga di Stadium Jatidiri.

Menurut jurulatih Sarawak Robert Alberts, pasukan Bujang Senang pada mulanya amat berharap dapat mengadakan perlawanan persahabatan di Vietnam, tetapi terpaksa menukar rancangan itu kerana masalah teknikal.

Mengenai empat pemain import Sarawak, Abu Bakar berkata kesemua mereka yang akan turut ke Indonesia itu sepatutnya sudah bersiap sedia dan tidak menghadapi masalah untuk menghadapi cabaran Piala Malaysia.

Tiga daripada mereka – Muamir Salibasic, Gabor Gyepes dan Hassan El Mohamad – tidak bermain dalam beberapa perlawanan Liga Super kerana cedera, manakala pemain dari Australia Ryan Griffiths menjadi tonggak kekuatan pasukan itu sejak mula menyertai Bujang Senang.

Abu Bakar berkata pengurusan pasukan itu gembira dengan pencapaian Bujang Senang pada musim ini yang menduduki tempat ketujuh dalam Liga Super dan terus layak beraksi dalam liga itu tahun depan.

Robert Alberts berkata beliau berharap dapat menurunkan pasukan mantap dalam menghadapi kempen Piala Malaysia kali ini berikutan kehadiran semua pemain importnya, berbeza dengan pertandingan dalam Liga Super sebelum ini. -Bernama

Advertisement