Anda di sini

Penghulu Enyang serikan upacara penutupan Gawai Rumah Grace

Advertisement

BERAKHIRNYA GAWAI: Enyang serta penduduk Rumah Grace Itun sempat memberikan pose istimewa mereka semasa melakukan simbolik majlis ngiling bidai.

MAJLIS Ngiling Bidai di Rumah Grace Itun, Jalan Salim-Stabau di Sibu barubaru ini dimeriahkan dengan kehadiran Penghulu Enyang Menchol.

Enyang yang merupakan penghulu di kawasan Sungai Salim (Ulu/Nanga), Sengan, Menyan, Sibu Jaya, Batu 16, Jalan Oya dan Sungai Nibong telah menjadi tetamu kehormat untuk merasmikan majlis di rumah panjang tersebut.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Tuai Rumah Grace Itun Upo, ‘Tuai Gawai’ atau pengerusi jawatankuasa penganjur Majlis Ngiling Bidai Rumah Grace Itun 2014 Joshua Enggu Bansang serta para tuai rumah panjang yang berdekatan.

Majlis pada malam tersebut dimeriahkan dengan kehadiran anggota Kumpulan Masterpiece yang cukup popular dengan lagu ‘Kumang Seari’ ketika ini.

Pelbagai aktiviti diadakan pada majlis itu seperti pertandingan minum air bir menggunakan straw, persembahan karaoke, persembahan poco-poco, ngajat mengelilingi ‘ranyai’ dan sebagainya.

Kemuncak majlis ialah upacara menggulung tikar oleh Enyang bersamasama dengan para penduduk sebagai simbolik penutupan Hari Gawai Dayak 2014.

Majlis sebegini diadakan setiap tahun oleh rumah panjang tersebut dalam usaha mengeratkan silaturahim serta mengekalkan perpaduan dalam kalangan penduduk.

Advertisement