Anda di sini

Wanita mengaku tidak salah pecah amanah lebih RM23,000

Advertisement

IPOH: Seorang bekas kerani sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap lima pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM23,155.60 pada Mei lepas.

Noor Hairani Basaruddin, 33, didakwa melakukan pecah amanah itu melalui invois nombor 280863 berjumlah RM5,307, invois nombor 280864 (RM5,780), invois nombor 280866 (RM4,825), invois nombor 280896 (RM3,363.60) dan invois nombor 280897 (RM3,880).

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di premis syarikat tempat dia bekerja di  Syarikat D&U Distributor Sdn Bhd di No 19A, Jalan Medan Ipoh 1E, Medan Ipoh Bestari, antara jam 1.22 tengah hari hingga 4.47 petang pada 2 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Rushan Lutfi Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Ogos untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Isa tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu serius yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Peguam Ram Kumar, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak akan melarikan diri ke luar negara kerana keluarganya tinggal di Taiping selain tertuduh masih menyusukan anaknya yang berusia sembilan bulan. — Bernama

Advertisement