Anda di sini

Ting akan pertahan jawatan 27 Julai ini

Advertisement

MIRI: Datuk Sebastian Ting dijangka bertanding mempertahankan jawatan pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau dalam pemilihan jawatankuasa baharu pada 27 Julai ini.

Ting berkata beliau telah mengambil borang pencalonan di pejabat SUPP Piasau yang mula diedarkan semalam hingga 15 Julai ini.

“Saya akan menghantar borang pencalonan saya pada 15 Julai ini,” katanya ketika ditemui di Pejabat SUPP Piasau, di sini semalam.

Ting menyandang jawatan pengerusi SUPP Piasau sejak 2011 menggantikan Presiden Kehormat SUPP Negeri Datuk Patinggi Tan Dri Dr George Chan.

Beliau memberitahu, undi-an tiga tahun sekali itu akan memilih 43 ahli jawatankuasa cawangan.

“Sekiranya kita menerima 43 borang pencalonan, maka pemilihan tidak akan dilakukan. Jika melebihi 43 calon, kita memberi tempoh selama tiga hari  (15 hingga 18 Julai) untuk calon-calon yang mahu menarik diri,” jelasnya.

Menurut Ting, pemilihan untuk dua jawatan lain iaitu pengerusi Pemuda dan pengerusi Wanita akan diada-kan sehari lebih awal iaitu pada 26 Julai. Kedua-duanya secara automatik dipilih sebagai naib pengerusi.

Seramai 43 ahli jawatankuasa akan mengadakan mesyuarat pertama mereka dan memilih ahli-ahli untuk jawatan-jawatan dipertandingkan.

“Proses pemilihan dan undian dijangka akan mengambil masa satu hari, dari pagi hingga malam,” jelasnya.

Ting berterima kasih kepada ahli, penyokong dan parti komponen Barisan Nasional (BN) atas sokongan yang diberikan kepada beliau dan parti selama ini.

SUPP Piasau membuka semula pejabat cawangan mereka pada 2 Mei lalu setelah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menarik balik pembatalan perdaftaran bagi dua cawangan SUPP itu Piasau dan Bekenu pada 30 April.

“Apa yang berlaku kepada parti sebelum ini biarlah menjadi pengajaran dan peringatan kepada kita. Justeru, saya yakin kita mampu bergerak ke hadapan,” katanya.

Advertisement