Anda di sini

Tiba masanya KM melaksanakan pembaharuan sistem pentadbiran

Advertisement

Oleh Patricia Gari //

DAP Sarawak mencadangkan 10 perkara pembaharuan dasar sistem pentadbiran untuk diadaptasi di negeri ini, kata Chong

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak semalam mencadangkan 10 perkara pembaharuan dasar sistem pentadbiran untuk diadaptasi di negeri ini.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata sudah tiba masanya untuk Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem melaksanakan perubahan sebenar terhadap sistem pentadbiran negeri ini selepas mengambil alih sebagai Ketua Menteri empat bulan lalu.

Beliau mendakwa ketika ini amalan kronisme, nepotisme serta rasuah mencemari sistem pentadbiran negeri Sarawak dan perubahan dasar sistem pentadbiran mesti dilakukan dalam tahun pertama Adenan menjadi Ketua Menteri.

“Justeru DAP Negeri mencadangkan 10 perkara per-ubahan dasar pentadbiran untuk Adenan adaptasikan bagi sistem pentadbiran lebih baik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti di sini semalam.

Hadir sama pada sidang media itu, Ahli Parlimen Stampin Julian Tan dan ADUN Pen-ding Violet Yong.

Sepuluh perkara yang dimaksudkan oleh Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa ialah pertama pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan harus dilaksanakan secara tender terbuka.

Kedua, tender terbuka seharusnya diaplikasikan untuk pemberian tanah negeri kepada pemaju atau syarikat perladangan kelapa sawit kecuali bagi kes pembaharuan pajakan tanah dan geran tanah bagi tujuan penggunaan awam seperti pendidikan, penjaga-an kesihatan, sukan, amal dan kebajikan serta bidaan awam.

Ketiga, (pemberian) satu lesen pembalakan hanya meliputi kawasan 500-1,000 hektar dan seharusnya diberikan menerusi proses bidaan awam atau tender terbuka.

Keempat, memperkenal-kan Kebebasan Ordinan Maklumat, bagi memastikan ke-telusan pentadbiran kerajaan seterusnya mengurangkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kelima, kerajaan negeri melaksanakan dasar pemberian tanah (Land-to-the Tiller) 20-30 ekar kepada setiap keluarga penduduk luar bandar dan menyediakan kesemua bantuan kewangan serta kepakaran mengusaha-kan tanah mereka.

“Perkara keenam ialah membina rumah pangsa berkualiti baik dalam jumlah mencukupi yang dilengkapi tiga bilik tidur untuk golo-ngan berpendapatan sederhana dan rendah serta melaksanakan dasar sewa beli.

“Ketujuh, mengubah sistem pengangkutan awam di negeri ini dengan kerajaan mengarahkan semua syarikat perkhidmatan bas awam di Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu meningkatkan perkhidmatan dan kekerapan.

“Perkhidmatan bas awam seharusnya disediakan secara percuma kepada umum untuk lima tahun pertama pelaksanaannya,” ujar Chong.

Manakala perkara kelapan perubahan dasar pentadbiran kerajaan negeri disyorkan DAP ialah melantik ADUN daripada kalangan pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Akaun Awam (JAA) yang hendaklah menentukan sasaran dan agenda penyelidi-kan jawatankuasa itu.

Rasionalnya pelantikan ADUN pembangkang, ujar-nya ketika ini pengerusi JAA dipegang ADUN Barisan Nasional (BN) sedangkan banyak skandal melibatkan pemimpin-pemimpin BN dan ahli keluarga mereka tidak disiasat serta dibuktikan oleh JAA, menyebabkan jawatankuasa itu tidak berkesan dan tanpa bertujuan.

“Perkara kesembilan pula ialah mengubah sistem pendidikan terutama melibatkan sekolah vernacular Cina, sekolah mubaligh dan sekolah menengah Cina dan perkara terakhir (10) ialah melaksanakan sistem pilihan raya memilih ahli majlis.

“Walaupun pendidikan di bawah bidang kuasa kerajaan pusat, terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kerajaan negeri mengendali-kan sekolah.

“Kita ada sekolah swasta St Joseph School dan Sekolah Logde, begitu juga dengan kes Pusat Perubatan Pakar Normah,” ujarnya.

Advertisement