Anda di sini

The Borneo Post Run mula menarik minat orang ramai

Advertisement

SAHUT CABARAN: Eksekutif Pemasaran Borneo Post, Jamie Kong (baju putih) bersama Andrew (kiri), Wong dan Chan antara peserta menyertai larian ‘The Borneo Post Run 2014’ nanti.

SIBU: Acara larian ‘The Borneo Post Run 2014’ anjuran The Borneo Post yang akan berlangsung pada 30 Ogos depan mula menarik minat orang ramai.

Acara itu dijangka menarik lebih ramai penyertaan tahun ini di samping menyediakan pelbagai kategori larian disertai oleh para peserta yang berminat.

Kategori yang disediakan juga terbuka kepada pelbagai peringkat umur.

Andrew Chan, 46, dan adik beliau Chan Geh Lang, 40, serta sahabat beliau, Wong Ting Ming merupakan antara peserta terawal mendaftar di See Hua Marketing di sini semalam.

Menurut Andrew, alasan utama beliau menyertai larian ini hanyalah untuk tujuan kesihatan dan bukan kerana ganjaran yang menanti.

“Saya menyertai larian ini adalah sebab kesihatan diri, lagipun saya bukan pelari profesional. Di samping berlari kami juga dapat menjaga kesihatan,” katanya.

Andrew dan adiknya, Chan berkata mereka sering berlari di Stadium Tun Zaidi di sini ketika mempunyai waktu lapang.

Selain itu, Andrew juga akan menggalakkan ahli keluarganya turut sama menyertai acara larian ‘The Borneo Post Run 2014’ nanti.

“Saya juga bercadang akan mengajak isteri, anak-anak saya mahupun ibu saya untuk bersama-sama menyertai larian ini nanti,” katanya.

Andrew yang juga aktif dalam sukan badminton berkata, acara larian seperti ini sangat mudah kerana kurang memberi risiko kecederaan kepada badan dan tekanan dari segi mental.

“Berlari sangat senang, sebab jika kamu penat kamu boleh berlari dengan perlahan, tapi jika kita masih bertenaga, kita boleh lari lebih laju.

“Tidak seperti ketika saya bermain badminton memerlukan banyak pergerakan badan dan tekanan dari segi mental,” ujarnya.

Tambah Andrew, sahabatnya Wong tidak pernah menyertai apa-apa acara larian sebelum ini bersetuju untuk turut serta pada acara itu nanti selepas dipujuk oleh beliau.

Andrew dan adiknya, Chan mendaftar bagi kategori ‘Fun Run’(4KM) dan Wong acara Terbuka Lelaki (8KM).

Acara larian ‘The Borneo Post Run 2014’ ini merupakan kali yang keempat.

Tahun pertama diadakan pada 2011 menarik seramai 600 penyertaan diikuti tahun berikutnya bertambah kepada 800 penyertaan.

Untuk tahun ini, penganjur mensasarkan seramai 1,000 penyertaan daripada orang ramai.

Advertisement